Dua maut dalam kemalangan membabitkan lori dan treler di atas Jambatan Pulau Pinang awal pagi ini.

GEORGE TOWN – Pemandu dan kelindan sebuah lori membawa muatan serai maut dalam kemalangan membabitkan sebuah treler di Kilometer 8.6 Jambatan Pulau Pinang dari arah Perai menghala pulau di sini awal pagi tadi.

Kejadian kira-kira pukul 5 pagi itu menyebabkan badan pemandu lori tersebut terputus dua selain kedua-dua mereka tersepit dalam lori tersebut.

Pihak bomba sedang melakukan kerja-kerja mengeluarkan mayat mangsa tersepit.

Mangsa dikenal pasti sebagai Mohd Fazrol Maarof, 39, dan kelindannya, Muhammad Amirrudin Azizan yang berusia 19 tahun.

Pegawai Kanan Bomba II, Fairol Mahazi Malek berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pukul 5.17 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba Jalan Perak dan Perai dikerah ke lokasi.

Jelas beliau, sebaik tiba, pihaknya mendapati sebuah lori tiga tan melanggar belakang sebuah treler yang berhenti di atas jambatan itu susulan mengalami kerosakan.

“Akibat pelanggaran itu pemandu dan kelinda lori yang dipercayai dalam perjalanan menghantar serai ke bahagian pulau tersepit di tempat duduk masing-masing.

Mayat kedua-dua mangsa nahas itu diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Kita mengambil masa 30 minit untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa tersebut dan mayat pemandu lori ditemui dalam keadaan terputus dua manakala kelindan mengalami kecederaan parah,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Tambah beliau, mayat mangsa yang berjaya dikeluarkan pada pukul 6.02 lagi itu diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pada pukul 6.16 pagi.

Laluan menghala Jambatan Pulau Pinang sesak susulan kerja-kerja pembersihan lokasi kemalangan sedang dilakukan.

Terdahulu, ribuan pengguna Jambatan Pulau Pinang terperangkap dalam kesesakan susulan operasi membersihkan kawasan kemalangan masih dilakukan sehingga pukul 8.30 pagi tadi.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati kesesakan bermula dari susur keluar Plaza Tol Sungai Dua menghala susur masuk Jambatan Pulau Pinang iaitu kira-kira 30 kilometer. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast