KUALA LUMPUR – Langkah Pas menyalahkan UMNO satu waktu dahulu sebagai punca masalah bekalan air di Kelantan adalah perkara lampau yang ada dalam lipatan sejarah.
Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, langkah itu perlu kerana ia merupakan perkara penting yang perlu difokuskan oleh kerajaan negeri pimpinan parti itu.
“Soal menyalahkan itu bukan soal apa yang berlaku. Itu sejarah lampau dan ini penting untuk kita tengok.
“Tapi apa yang kita sedang buat itu lebih penting untuk perancangan di masa depan untuk Kelantan,” jawabnya yang juga Menteri Alam Sekitar Dan Air.
Ahli Parlimen Kubang Kerian itu menjawab gesaan Pengerusi Save Kelantan, Datuk Husam Musa supaya Pas berhenti memberi alasan bahawa masalah air yang berlarutan sejak 30 tahun di Kelantan berlaku kerana politik dendam Kerajaan Persekutuan.
Dakwa Husam, pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad, perdana menteri keempat waktu itu meluluskan geran bagi membayar hutang ditanggung kerajaan negeri akibat penswastaan bekalan air.
Menjawab dakwaan itu, Tuan Ibrahim berkata, kerajaan negeri mempunyai perancangan yang lebih besar bagi menyelesaikan masalah air.
Malah katanya kerajaan negeri telah membina lima loji air di mana sebahagian daripada sudah mula beroperasi.
“Projek sebahagian telah berjalan dan sudah siap lima loji dan sudah mula beroperasi dan kita sudah tingkatkan kapasiti berapa loji yang sebelum ini tidak sampai margin sebenar dan kita mula naiktaraf loji tersebut.
“Kita ada perancangan ke arah yang lebih besar. Insya-Allah isu air di Kelantan akan selesai,” katanya lagi.
Pada 12 Mei lalu, Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menegaskan, sumber air bawah tanah dan atas permukaan bumi terlalu banyak di Kelantan sehingga melebihi keperluan sedia ada.
Katanya lagi, ketiadaan tempat simpanan air yang sesuai sehinggakan sumber air yang ada di bumi negeri itu tidak dapat dimanfaatkan. – MalaysiaGazette