BANGKOK – Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Thailand (CAAT) sedang menyiasat insiden penerbangan Thai AirAsia yang mendarat di landasan bukan ditetapkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang awal bulan ini.

Bagaimanapun, tiada kecederaan serius dilaporkan dalam insiden pada 4 Mei itu namun, CAAT menilai kejadian itu sebagai serius.

Menurut kenyataan CAAT, pesawat Airbus A320-200 itu berlepas dari Ranong pada 12.43 tengah hari (waktu tempatan) dan mendarat di landasan 21L Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang pada 1.36 tengah hari (waktu tempatan), dan bukan di landasan 21R seperti dijadualkan.

Satu jawatankuasa penyiasatan di bawah Kementerian Pengangkutan dijangka menyelesaikan siasatan dalam tempoh 30 hari, lapor The Nations.

Media tempatan melaporkan dua juruterbang telah digantung tugas sementara menunggu hasil siasatan.

Menurut CAAT, Aeronautical Radio of Thailand (Aerothai), syarikat penerbangan dan agensi berkaitan sudah diarah menyerahkan laporan pengurusan keselamatan bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

“Sebaik jawatankuasa penyiasatan menyerahkan laporan, CAAT akan menganalisis data dan menyediakan langkah pencegahan,” jelas CAAT.

Mendarat di landasan salah atau tidak ditetapkan boleh menyebabkan kemalangan. Pada 1979,  Penerbangan 2605 Western Airlines terhempas di Lapangan Terbang Antarabangsa Mexico City selepas mendarat di landasan yang ditutup untuk diselenggara, mengorbankan 72 daripada 89 penumpang dan seorang pekerja penyelenggaraan landasan. – Bernama