PADANG BESAR – Pendatang tanpa izin didapati menjadikan bangunan kilang dan cahaya lampu di sekitar Chuping dan Padang Besar sebagai petunjuk arah bagi mereka membolosi sempadan negara.
Mendedahkan perkara itu, Pegawai Pemerintah Batalion 18 Pasukan Gerakan Am (PGA), Supt Ramli Wan Salin berkata, warga asing berkenaan biasanya mula bergerak dari Thailand memasuki sempadan Padang Besar bermula dari pukul 1 hingga 6 pagi.
“Setelah tiba ke Malaysia (Padang Besar), mereka (warga asing) akan dibantu oleh tekong darat yang kebanyakannya warga tempatan untuk dibawa ke destinasi masing-masing,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.
Ramli berkata, berdasarkan tinjauan udara oleh PGA bersama Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM), kawasan yang menjadi laluan pendatang tanpa izin itu adalah kawasan lapang.
Beliau berkata, rata-rata pendatang asing yang ditahan terdiri daripada warga Myanmar berusia 17 hingga 40 tahun dan mereka biasanya bergerak dalam kumpulan sederhana tidak melebihi 30 orang.
Menurut Ramli, tekong darat didapati mengenakan bayaran RM3,000 seorang bagi perjalanan dari Thailand ke Malaysia dan hasil risikan turut mendapati terdapat sejumlah warga Myanmar sedang menanti masa sesuai untuk membolosi sempadan negara secara berperingkat.
“Walaupun kita melakukan kawalan 24 jam, mereka (pendatang asing) sentiasa menunggu peluang sesuai untuk menceroboh sempadan negara dan PGA tidak akan membiarkan perkara itu berlaku,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya turut berdepan cabaran mengheret tekong darat ke mahkamah kerana kesukaran mendapat bukti.
“Jika disabit kesalahan, tekong darat ini boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM),” katanya. – Bernama