Datuk Hishamuddin Hashim, the Secretary-General of the Malaysia International Humanitarian Organization (MHO)
Datuk Hishamuddin Hashim

KUALA LUMPUR – Cadangan kerajaan untuk membawa masuk seramai 500,00 tenaga kerja pekerja asing terutamanya dari Bangladesh dan Nepal sebenarnya menimbulkan persoalan.

Itu luahan kebimbangan Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusian Masyarakat Antarabangsa (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim dengan pengumuman kerajaan mahu mengambil warga asing itu dalam bidang kerja pengawal keselamatan.

“Datuk Seri Hamzah (Zainuddin) mengumumkan kerajaan bercadang membenarkan syarikat kawalan keselamatan swasta yang berlesen di negara ini menggaji tenaga kerja dari negara sumber baharu iaitu Filipina, Indonesia dan Bangladesh sebagai pengawal keselamatan.

“MHO berpendapat kerajaan masih mempunyai alternatif lain daripada membuka peluang mengambil pekerja asing sektor keselamatan dari negara selain Nepal. Seperti sedia maklum masih ramai rakyat tempatan sendiri yang tidak mempunyai pekerjaan atau menganggur dan mereka ini boleh diserap dan digalakkan bekerja di bawah syarikat-syarikat sekuriti swasta tersebut.

“Dengan cadangan kenaikan gaji minimum kepada RM1,500.00 tahun ini juga boleh menarik minat pekerja-pekerja tempatan bagi mengisi kekosongan sektor sekuriti tersebut tanpa perlu mengambil lebih banyak lagi warga asing masuk ke negara ini,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Kata Hishamuddin, selain warga tempatan ada juga cadangan untuk menggajikan golongan stateless di Malaysia yang kini berjumlah puluhan ribu.

“Ingat ya, golongan ini terdiri daripada individu yang lahir dan tinggal di Malaysia tetapi tidak mendapat pengiktirafan sebagai warganegara kerana pelbagai faktor antaranya sesetengah mereka tidak menitikberatkan mendaftarkan anak mereka selepas kelahiran berkemungkinan kerana berada jauh di pedalaman.

“Lagi sedih ada juga sebilangan mereka telah hilang dokumen-dokumen penting pengenalan diri. Mohon kerajaan pertimbangan ini juga. Tolonglah, sudah lama MHO perjuangkan isu-isu ini, mereka bukannya warga asing dari luar. Kasihanilah mereka.

“Golongan ini boleh ditawarkan sebagai bekerja di sektor sekuriti dengan menawarkan kad identiti diri agar boleh bekerja dan membantu ekonomi negara tanpa perlu mengambil warga asing dalam jumlah yang banyak dari berbilang negara,” ujarnya.- MalaysiaGazette