Orang ramai beratur panjang untuk berurusan di Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Pudu, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 23 MEI 2022.

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menyifatkan rasa tidak puas hati orang ramai susulan kesesakan di Jabatan Imigresen di seluruh negara terutama di Johor tidak berasas.

Ini kerana, kesesakan yang berlaku di premis tersebut ketika ini disebabkan peningkatan mendadak permintaan untuk urusan pasport disebabkan pintu sempadan negara mula dibuka pada 1 April lalu.

Presidennya, Adnan Mat berkata, Jabatan Imigresen telah melanjutkan waktu operasi sehingga jam 10 malam sejak 11 Mei lalu membabitkan pejabat di Putrajaya, Kuala Lumpur, Selangor, Johor, Negeri Sembilan dan Melaka.

Malah semua operasi Jabatan Imigresen di UTC di Pulau Pinang, Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu dan Perlis turut dilanjutkan operasi, selain semua pejabat pasport di Semenanjung beroperasi pada hari sabtu sehingga pukul 12.30 tengah hari.

Oleh itu, CUEPACS menasihatkan kepada orang ramai agar merancang perjalanan dan urusan ke luar negara dengan tidak melakukan percutian mengejut.

Urusan yang dibuat pada saat-saat akhir dan mengejut sudah pasti akan menyulitkan semua pihak, ujarnya.

”Kesesakan ini mengakibatkan ramai pelanggan yang hadir tidak berpuas hati sehingga menularkan perkara ini ke dalam sosial media tanpa informasi yang betul sehingga menjatuhkan kredibiliti Jabatan Imigresen.

”CUEPACS berharap orang ramai bertenang dan tidak bertindak menularkan perkara tersebut tanpa mendapatkan maklumat yang jelas mengenai situasi yang berlaku ketika ini.

Dalam pada itu, Adnan berharap kerajaan terutama ketua jabatan masing-masing turut sama memberi perhatian mengenai kebajikan dan keselamatan kakitangan Jabatan Imigresen kerana dalam kalangan mereka yang mula bekerja seawal 4.30 pagi dan pulang lewat malam sehingga terpaksa mengabaikan keluarga dan urusan sendiri.

”Susun aturlah penggunaan sumber manusia dengan sebaiknya agar tidak berlaku tekanan kerja dalam kalangan kakitangan. Bekalkan semua kakitangan yang terlibat dengan peralatan dan sistem yang terbaik. Pengorbanan mereka ini juga sewajarnya dihargai oleh semua pihak dan bukannya dicemuh,” tambahnya.

Dalam masa yang sama, CUEPACS berharap kerajaan dapat menaik taraf sistem yang diguna pakai oleh Jabatan Imigresen serta agensi kerajaan yang lain bagi membolehkan perkhidmatan awam berjalan dengan lebih efisien dan lancar.

Jelasnya, sistem terkini sudah pasti membolehkan urusan dapat berjalan dengan lebih lancar sekali gus memberi pengalaman terbaik kepada rakyat yang melakukan urusan.

”Kakitangan yang tidak mencukupi juga perlu ditambah dan diisi dengan segera bagi mengelakkan kejadian yang sama berulang pada masa akan datang. Dalam situasi yang berlaku di Jabatan Imigresen ketika ini sudah pasti akan mengakibatkan kekangan untuk mengatur sumber manusia kerana pertambahan waktu operasi,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast