Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri

KUALA LUMPUR – Keputusan kerajaan Malaysia bertindak agresif terhadap kewujudan kartel ayam bagi menangani isu peningkatan harga dan bekalan yang menghimpit rakyat dilihat tepat.

Tambahan pula langkah berkenaan disusuli dengan tindakan menghapus peranan “orang tengah” yang gemar menangguk di air yang keruh memanipulasi harga, kata Pengarah Komunikasi Pergerakan Pemuda UMNO, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri.

Menurutnya, jihad kerajaan itu dilihat bakal memberi kesan yang baik.

“Cadangan menubuhkan sebuah lembaga khas juga dilihat amatlah bertepatan untuk mengawal selia rantaian industri ayam sebagai pemangkin utama dan memastikan kelestarian industri bagi menjamin kestabilan bekalan dan harga ayam, serta mengelak berlakunya lagi krisis pada masa akan datang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pun begitu, menurut Syed Mohd Johan Rizal, Pemuda UMNO melihat tindakan jihad kerajaan bukan sahaja memerlukan sokongan ramai namun turut memerlukan kerjasama dari semua peringkat malah lebih penting lagi mendapat kerjasama erat dari para pemain industri ayam negara sendiri khususnya golongan penternak dan penjual terakhir kepada pengguna.

“Pemerkasaan agensi dan jabatan kerajaan meliputi bidang penyelidikan makanan ternakan seperti Mardi dan seumpamanya juga sangat perlu khususnya yang melibatkan sumber asas tani tempatan bagi menghasilkan produk makanan ayam yang berkualiti namun menawarkan harga yang lebih rendah dan kompetitif untuk mengatasi masalah golongan penternak tempatan yang sebelum ini bergantung harap pada sumber asas import dari negara luar.

“Sekiranya cadangan-cadangan komprehensif dan bersepadu ini dilaksanakan dengan kerjasama erat dari beberapa buah kementerian, kami yakin usaha jihad memerangi kartel ayam ini bakal mencapai matlamat jangka pendek dan panjang, masalah-masalah yang timbul di dalam rantaian bekalan ayam dari aspek penternakan hinggalah ke peringkat penjualan dapat diselesaikan, termasuk dari sudut harga, kualiti dan bekalan di pasaran semasa,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast