Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong (dua kanan) mengatakan sesuatu dengan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Mohd Azharuddin Mat Sah (dua kiri) sambil memegang plakad yang tertera 23 cadangan penambahbaikan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) pada sidang media di Kementerian Pengangkutan Malaysia, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 25 MEI 2022.

PUTRAJAYA – Prasarana Negara Berhad (Prasarana) mengakui prestasi perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya agak menurun pada masa sekarang selepas berlaku beberapa insiden menyebabkan gangguan dalam perkhidmatannya antara April dan Mei lalu.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, beliau dimaklumkan oleh pihak pengurusan Prasarana dan Rapid Rail mengenai cabaran yang dihadapi apabila gangguan bersiri sekali gus menyebabkan kekecewaan dalam kalangan pengguna.

Katanya, gangguan terhadap sistem kendalian pemanduan automatik tren (ATC) khusus pada tren 4 gerabak jenis 818 telah menyebabkan brek kecemasan diaktifkan dan sekaligus menyaksikan sebanyak 38 insiden brek kecemasan berlaku antara 1 April hingga 5 Mei lalu.

“Daripada data yang diperoleh, gangguan ini disebabkan oleh beberapa faktor khususnya masalah tachometer yang menyumbang 47 peratus daripada jumlah kes, unit elektronik 32 peratus, antena enam peratus dan masalah-masalah lain sebanyak 15 peratus.

“Rentetan itu, Rapid Rail telah melancarkan program pemeriksaan khas bagi memeriksa komponen-komponen tersebut selain penggantian komponen rosak serta ujian dinamik turut akan dilakukan bagi memastikan masalah ini tidak berulang.

“Sehingga kini, tahap pemeriksaan dan pembaikan telah mencapai 14 peratus dan disasarkan siap sepenuhnya pada bulan Ogos 2022,” katanya dalam sidang media mengenai kemajuan pelaksanaan 23 inisiatif penambahbaikan untuk Laluan
Kelana Jaya di sini petang tadi.

Tambah Ka Siong, beberapa insiden telah dilaporkan berlaku melibatkan tren empat gerabak jenis 818 itu juga berpunca daripada kerosakan angkup brek dan langkah segera pembaikan sistem angkup brek bagi tren 818 sedang giat dijalankan dan telah mencapai kemajuan sebanyak 39 peratus dan disasarkan siap sepenuhnya pada November ini.

Manakala, katanya, langkah tambahan yang sedang diambil adalah mempertingkatkan kekerapan pemeriksaan secara mingguan terhadap tren 818 sebelum tren tersebut digunakan di dalam perkhidmatan.

“Terbaharu kita dikejutkan lagi dengan satu lagi insiden bekalan elektrik terputus di Laluan LRT Kelana Jaya pada 24 Mei 2022 ekoran masalah bekalan kuasa elektrik di dua Traction Power Sub Station (TPSS) di Stesen Kelana Jaya dan Stesen Universiti.

“Pihak kami sedang melakukan siasatan rapi dan hasil penemuan awal mendapati terdapat kesilapan teknikal yang memerlukan perbincangan lanjut bersama kontraktor berkaitan dan tindakan akan disusuli kemudian,” ujarnya.

Beliau mengakui insiden secara berturut-turut itu memaksa para penumpang mencari alternatif selain mencetuskan kesulitan kepada mereka untuk meneruskan perjalanan destinasi dituju.

Katany, beberapa inisiatif penambahbaikan operasi pengurusan krisis rentetan insiden-insiden baru-baru ini telah disusun dan akan dilaksanakan segera bagi mengurangkan impak kepada penumpang ketika berlaku gangguan.

“Antara inisiatif yang diambil ialah menempatkan beberapa unit bas di stesen utama dan strategik seperti Stesen LRT Bangsar dan hab Pasar Seni untuk diaktifkan sekiranya berlaku kecemasan.

“Bas bas ini akan diaktifkan sebagai pengangkutan alternatif sekiranya berlaku gangguan yang melibatkan kelewatan perkhidmatan tren melebihi 15 minit.

“Prasarana juga akan menambah anggota Polis Bantuan Prasarana di stesen-stesen sibuk seperti Masjid Jamek, Pasar Seni dan KLCC pada waktu puncak selain meningkatkan pengurusan kawalan orang ramai dengan menambahbaik kecekapan komunikasi kepada penumpang ketika berlaku gangguan.

“Langkah-langkah di atas adalah tindakan proaktif Rapid Rail bagi mengurangkan kesulitan kepada pengguna sekiranya berlaku gangguan perkhidmatan,” tegasnya. – MalaysiaGazette