BUKIT MERTAJAM – Sebuah kilang memproses serbuk kopi diarah tutup selama 14 hari kerana terlalu kotor sekali gus tidak mempraktikkan Program Jaminan Keselamatan Makanan (PJKM).
Lebih menjijikkan, terdapat bangkai tikus yang sudah kering ditemui di tempat penyimpanan serbuk kopi itu ketika sepasukan pegawai dari Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) menyerbu kilang terbabit hari ini.
Ketua Bahagian Penguatkuasaan JKNPP, Inspektor Kesihatan Mohd Wazir Khalid berkata, ini merupakan kali pertama pihaknya melakukan pemeriksaan di kilang yang sudah beroperasi sejak 50 tahun itu susulan kedudukan tersorok di tengah pekan lama.
Jelas beliau, hasil pemeriksaan mendapati serbuk kopi itu dipasarkan untuk pasaran Semenajung tanah air.
“Pemeriksaan mendapati kilang berkenaan tidak mengikut piawaian kebersihan ditetapkan bahkan lantainya berlopak dan bertakung yang dipercayai boleh menyebabkan berlaku percikan pada produk dihasilkan sekali gus mencernakannya.
“Kita juga menemui najis, bangkai tikus di tempat penyimpanan serbuk kopi yang siap diproses. Selain itu, penggunaan peralatan kayu dalam proses itu turut menjadi satu kesalahan.
“Pemeriksaan lanjut mendapati kilang berkenaan meletakkan logo halal pada bungkusan produk dihasilkan namun ia meragukan dan kita akan membuat aduan kepada pihak berkaitan,” katanya kepada pemberita di lokasi serbuan di sini, hari ini.
Serbuan itu turut disertai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang, Jabatan Perlesenan dan Jabatan Penguatkuasaan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).
Tambah Mohd Wazir, pemilik kilang juga didapati melanggar syarat Original Equipment Manufacturer (OEM) yang mana pengilang menjual produk kepada pihak lain kemudiannya ia dilabelkan bungkusan dibuat oleh pihak tersebut.
“Ini menjadi kesalahan kerana lokasi asal pembungkusan tidak dimaklumkan dan kita bimbang sekiranya berlaku keracunan makanan kita sukar kesan punca dan lokasi sebenar produk.
“Sehubungan itu, notis penutupan dikeluarkan supaya pemilik kilang dapat membersihkan premis seperti dikehendaki.
“Selain notis penutupan tiga kompaun turut dikeluarkan dalam operasi itu atas pelbagai kesalahan,” ujar beliau. – MalaysiaGazette