NEW YORK – Presiden Bank Dunia memberi amaran bahawa pencerobohan Rusia ke atas Ukraine boleh menyebabkan kemelesetan global apabila harga makanan, tenaga dan baja melonjak.
David Malpass dalam acara perniagaan di Amerika Syarikat berkata, sukar untuk “melihat bagaimana kemelesetan itu dapat dielakkan”.
Malah, katanya, beberapa sekatan akibat wabak koronavirus di China menambah kebimbangan kelembapan dunia.
Kenyataan Malpass adalah amaran terbaharu mengenai peningkatan risiko bahawa ekonomi dunia mungkin akan menguncup.
“Apabila kita melihat KDNK global… sukar untuk melihat bagaimana kita dapat mengelak kemelesetan sekarang.
“Idea harga tenaga meningkat dua kali ganda sudah cukup untuk mencetuskan kemelesetan dengan sendirinya,” kata Malpass, tanpa memberikan ramalan khusus.
Bulan lalu, Bank Dunia menurunkan unjuran pertumbuhan ekonomi globala untuk tahun ini hampir mata peratusan penuh, kepada 3.2%.
Tambah beliau, banyak negara Eropah masih terlalu bergantung kepada Rusia untuk minyak dan gas.
Dalam acara maya yang dianjurkan oleh Dewan Perniagaan AS, Malpass menambah, langkah Rusia untuk memotong bekalan gas boleh menyebabkan “kelembapan yang ketara” di rantau ini.
Beliau berkata, harga tenaga yang lebih tinggi sudah pun membebankan Jerman, yang merupakan ekonomi terbesar di Eropah dan keempat terbesar di dunia.
Negara membangun juga terjejas akibat kekurangan baja, makanan dan tenaga, tambahnya. – BBC