MEMANDANGKAN harga makanan di Malaysia melonjak dalam beberapa bulan ini, Kerajaan Persekutuan seharusnya mengenal pasti punca utama krisis dan mengambil serius pelbagai kekurangan dalam dasar keselamatan makanan dan kelestarian sektor pertanian (sustainable agriculture) demi melindungi kuasa beli rakyat, terumatanya golongan B50 dan M40, daripada inflasi dan kenaikan kos sara hidup.
Berdasarkan statistik Food and Agriculture Organization (FAO), harga makanan seluruh dunia telah melambung sejak tahun 2022, manakala Index Harga Makanan telah mencecah 159.7 pada bulan Mac, iaitu kenaikan sebanyak 17.7% berbanding dengan bulan Januari. Kadar kenaikan index tersebut adalah paling mendadak sejak wujudnya index tersebut pada tahun 1990.
Krisis Rusia-Ukraine merupakan mangkin yang menambah buruk kenaikan harga makanan kerana kedua-dua negara merupakan pengeksport makanan utama di dunia. Ukraine dan Rusia menyumbang lebih daripada 60 peratus daripada minyak bunga matahari dalam pasaran dunia dan merupakan pengeksport gandum dan barli utama. Sejak konflik berlaku, bekalan hasil pertanian semakin kekurangan, maka harga minyak goreng dan harga bijirin meningkat secara mendadak.
Faktor yang meyumbang kepada kenaikan harga makanan pada jangka masa panjang boleh dijejak dari krisis perubahan iklim sejak tahun 2008, yang mana banyak negara bermula untuk mengehadkan eksport makanan dan mendatangkan impak terhadap pasaran makanan Malaysia.
Jelasnya, konflik Rusia-Ukraine hanya merupakan “the last straw” yang menyumbang kepada kenaikan harga pelbagai jenis makanan dalam pasaran, terutamanya telur, ayam, daging khinzir, sayuran, dan minyak masak.
Maka, tindakan kerajaan yang menyalahkan konflik Rusia-Ukraine sebagai satu-satunya punca krisis makanan adalah amat tidak bertanggungjawab.
Kabinet Malaysia sepatutnya memahami bahawa rantaian bekalan dalam sektor pertanian adalah amat rapuh. Selain daripada tanah, hampir semua aspek yang melibatkan kos operasi, seperti baja kimia, benih, racun perosak, jagung bijian, dan pekerja dalam sektor pertanian, perlu diimport dari luar negara. Sekiranya mana-mana aspek menghadapi masalah kekurangan, rantaian bekalan secara keseluruhannya akan terkesan.
Krisis kenaikan harga dan kekurangan bekalan telur dan ayam adalah disebabkan oleh kekurangan bekalan dan kenaikan harga jagung bijian. Akibat daripada perubahan landskap antarabangsa, kos operasi bagi sektor ternakan ayam meningkat secara mendadak.
Pada 2016, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) telah memulakan kajian tentang penanaman jagung bijian dan menyasarkan kira-kira 80,000 hektar kawasan diusahakan dengan tanaman jagung bijian menjelang 2033 demi mengurangkan kebergantungan import jagung bijian dari negara luar.
Namun, langkah yang berjangka panjang tidak mampu mengatasi krisis di depan mata. Memandangkan kekurangan bekalan dan kenaikan harga ayam sudah pun membelenggu rakyat, kerajaan perlulah mengambil langkah segera untuk mempercepatkan penghasilan jagung bijian dalam negara dan menstabilkan kos operasi bagi industri ternakan.
Ketika kerajaan menetapkan harga siling runcit ayam pada RM8.90, hanya subsidi yang berjumlah RM0.60 sekilo diberi kepada penternak ayam. Memandangkan harga jagung bijian telah meningkat sebanyak 100 peratus sejak tahun lepas, subsidi sedemikian hanya memaksa penternak ayam untuk menelan kerugian. Maka, semakin banyak ladang ternakan ayam yang berskala kecil tidak mampu menampung kos operasi dan terpaksa gulung tikar.
Pada masa yang sama, industri tanaman juga menghadapi masalah kenaikan harga baja kimia yang mendadak. Sebagai pengeksport petroleum, Malaysia seharusnya membangunkan industri midstream and downstream dalam sektor minyak dan gas, termasuk industri penghasilan baja kimia agar mampu mengurangkan kebergantungan baja kimia import yang dihadapi oleh industri tanaman.
Pelbagai pihak sering menekankan bahawa Malaysia perlu meningkatkan tahap sara diri makanan (food self-sufficiency rate) agar mampu mengurangkan kebergantungan makanan import. Walau bagaimanapun, kita perlulah mengambil iktibar dari penularan wabak Covid-19 dan konflik Rusia-Ukraine. Sekiranya kos yang diperlukan untuk menghasilkan makanan perlu diimport, negara tidak mampu menstabilkan harga makanan walaupun tahap sara diri makanan kelihatan mencapai 100 peratus. Dengan kata yang lain, Malaysia hanya mampu mencapai matlamat sara diri makanan yang tulen sekiranya kos untuk menghasilkan makanan turut mencapai tahap sara diri.
Chiong Yoke Kon
ADUN Tanah Rata (Cameron Highlands)