Princess Haifa Bint Mohammed. Foto Saudi Gazette

DAVOS – Penolong Menteri Pelancongan Arab Saudi menolak sebarang pilihan untuk meminda undang-undang di negaranya bagi membenarkan minuman alkohol.

Puteri Haifa Binti Mohammed berkata demikian ketika ditanya dalam sesi panel di Forum Ekonomi Dunia tentang kemungkinan Arab Saudi akan membenarkan minuman alkohol di bandar baharu futuristiknya yang dikenali sebagai NEOM.

“Arab Saudi sangat telus mengenai kedudukannya dalam segala-gala, kami sangat jelas dan kami juga mendengarnya daripada ketua negara kami berhubung hidangan minuman alkohol

“Jawapan ringkasnya ialah kami akan mengekalkan undang-undang sedia ada,” katanya.

Tegasnya, Kerajaan Arab Saudi masih ‘berfungsi dengan baik’ apabila membuka negara ini untuk pelawat dari seluruh dunia.

“Kami telah mengatasi prestasi global dalam pelancongan dengan apa yang kami tawarkan hari ini,” tekan Puteri Haifa lagi.

Tambahnya, terdapat banyak perkara yang perlu dilalui tanpa memperkenalkan sesuatu yang baharu.

Arab Saudi telah membuka pintu kepada dunia melalui pembaharuan ekonomi dan sosial yang menyeluruh sejak 2018.

Setahun kemudian, Kerajaan Arab Saudi memperkenalkan visa pelancong pertama untuk melawat negara yang mempunyai enam Tapak Warisan Dunia UNESCO, pantai Laut Merah dan Empty Quarter iaitu gurun abadi terluas di dunia.

Puteri Haifa berkata, apabila Kerajaan Arab Saudi melancarkan program visa pelancong pada September 2019, ia mencapai kejayaan luar biasa kerana 400,000 visa dikeluarkan dalam tempoh enam bulan sebelum penggantungan perjalanan antarabangsa akibat penularan wabak koronavirus.

Sejak Kerajaan memperkenalkan visa baharu, soalan yang berulang kali ditanya adalah sama ada kerajaan akan membenarkan tawaran alkohol di khalayak seperti negara-negara teluk yang lain.

Pada masa sama pihak berkuasa Arab Saudi terus-menerus menafikan sebarang dakwaan bahawa negara itu mungkin melonggarkan untuk membenarkan alkohol di khalayak.

Arab Saudi berharap dapat meningkatkan sektor pelancongan dengan mewujudkan destinasi pelancongan baharu seperti NEOM, Laut Merah dan Qiddiya yang menawarkan pelbagai pilihan untuk mengisi masa lapang dan hiburan yang bergantung kepada sumber semula jadi seperti matahari dan laut, katanya. – Saudi Gazette