KUALA LUMPUR – Presiden Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup Abdullah sedia untuk berdebat dengan Menteri Pertahanan dalam memperjuangkan hak-hak berkaitan tuntutan veteran.
Beliau yang dikenali Ayahanda Kipidap berkata, debat dengan Datuk Seri Hishammuddin Hussein tersebut bukan untuk mencari kesalahan sebaliknya bagi meredakan keadaan di mana kebanyakan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kini sudah muak membuat tuntutan namun tidak dilayan.
Apa yang diharap oleh veteran, tegasnya, adalah keputusan yang boleh memihak kepada mereka serta tidak membiarkan mereka terus merungut.
“Kalau nak diadakan debat boleh disiarkan melalui media massa lagi puas hati selesai masalah, bukan susah,” katanya yang juga bekas anggota tentera pada sidang media di sini hari ini.
Abdul Rani berkata, veteran ATM menuntut tiga perkara daripada lapan tuntutan untuk diberi perhatian oleh kerajaan sebagai menghargai jasa dan khidmat mereka sebelum ini.
Ketiga-tiga perkara itu adalah berkaitan pencen, permasalahan para dan Pingat Jasa Malaysia (PJM).
Katanya, isu berkaitan veteran telah diperjuangkan sejak 2017 namun sehingga kini ia masih sepi.
“Luluskan sahaja, bagilah tahu, jangan lambat-lambat, jangan main ding dong, ding dong.
“Saya nak bagi tips ni, umumkan saja mengenai pencen, umumkan sahaja PJM, berapa ratus berapa ribu, kita nak tahu berapa, makna kalau dah umum kerajaan berhutang, jadi tiadalah masalah, sedap sikit dengar, ni nak umum itu takut…kami setia kepada Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Agong,” ujarnya. – MalaysiaGazette