Ecclestone ditahan kerana memiliki pistol secara haram semasa hendak memulakan penerbangan ke Switzerland pada Khamis. Foto Kredit: Getty Images/BBC Sport

LONDON – Bekas Presiden Formula Satu (F1), Bernie Ecclestone telah ditangkap polis di Brazil atas kesalahan membawa pistol secara haram.

Beliau ditahan di lapangan terbang sebelum memulakan penerbangan ke Switzerland dengan pesawat jet peribadinya.

Dalam kenyataan pada Khamis, polis tempatan berkata, hasil pemeriksaan, polis telah menemui pistol jenis LW Seecamp .32 yang tidak berdokumen di dalam bagasinya semasa imbasan imigresen di lapangan terbang.

Ecclestone, 91, mengaku memiliki pistol ketika disoal siasat polis bagaimanapun mendakwa dia sebenarnya tidak menyedari senjata api itu berada di dalam bagasinya.

Selepas membayar wang jaminannya, Ecclestone dibenarkan untuk meneruskan penerbangannya ke Switzerland.

Ecclestone yang telah menerajui F1 selama 40 tahun sebelum melepaskan jawatan itu pada 2017, telah mendirikan rumah tangga dengan wanita kelahiran Brazil Fabiana Ecclestone. – Agensi

https://www.bbc.com/sport/formula1/61596393