SEPAKAT...Datuk Dr Seri Abdul Rahman Osman dan Datuk Ayob Khan mahu masjid dijadikan wadah mendekati bekas penagih menerusi pelbagai aktiviti yang dijalankan.

KUANTAN – Wadah dakwah terus dimartabatkan dalam mendepani isu narkotik di negeri ini apabila dua pasang mata figura hebat sepakat menjadikan masjid sebagai medium untuk mengembalikan fitrah bekas penagih dadah bersama jemaah masjid.

Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman berkata, kesepakatan itu dicapai bersama Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dengan menjadikan daerah Bera sebagai lokasi pertama untuk projek perintis dalam masa terdekat.

Untuk merealisasikan usaha murni ini, Majlis Ugama Adat Resam Pahang (MUIP), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) akan berganding bahu mendekati bekas penagih dan mengajak mereka menyertai aktiviti qariah masjid.

Abdul Rahman menyorot kepimpinan Rasulullah SAW dan para sahabat yang menjadikan masjid sebagai pusat bagi membantu membentuk keperibadian dan mendidik semua golongan dalam setiap aspek kehidupan.

“AADK ada nama senarai mereka yang terlibat dan ada kuasa untuk menyuruh mereka hadir ke masjid, kita akan gabungkan mereka duduk dalam qariah bersama-sama, manakala pihak narkotik akan menambah kekuatan untuk sama-sama membantu.

“Jika dahulu mereka mungkin malu dengan masyarakat. Jadi kita dekati mereka dan ajak mereka kembali kepada masyarakat,” katanya sambil mengalu-alukan pihak-pihak lain seperti kumpulan tabligh dan pertubuhan bukan kerajaan turut membantu mengembalikan kehidupan bekas penagih.

Beliau berkata demikian kepada MalaysiaGazette yang turut menyaksikan pertemuan kedua-dua figura di Masjid Sultan Ahmad Shah Sungai Isap di sini.

Datuk Dr Seri Abdul Rahman Osman bersama Datuk Ayob Khan berbincang mengenai usaha mengembalikan bekas penagih dalam aktiviti masyarakat.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata, sebarang perbelanjaan untuk membantu golongan tersebut akan dibuat melalui MUIP kerana mereka merupakan asnaf riqab yang diistilahkan sebagai hamba yang masih belum merdeka diri dan layak menerima zakat.

Beliau turut melahirkan kebimbangan tentang keadaan masyarakat yang porak peranda dan peningkatan kes jenayah yang kebanyakannya berpunca daripada dadah, justeru usaha membendung masalah tersebut memerlukan penglibatan semua pihak.

Katanya, inisiatif yang akan digerakkan secara bersepadu ini akan dipersembahkan kepada Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah bagi mendapat perkenan baginda.

Katanya, pertemuan dengan Ayob Khan memberi makna yang amat mendalam kerana ia membuktikan kesungguhan beliau serta PDRM untuk mengembalikan bekas penagih ke dalam masyarakat dan inisatif tersebut kelak diperluaskan ke daerah-daerah lain.

“AADK dan Narkotik ada peranan masing-masing namun jemaah masjid mempunyai tanggungjawab untuk membantu bekas penagih dan kita membuat pemantauan secara berkesan,” katanya.

Sementara itu, Ayob Khan ketika ditemui mengesahkan kesepakatan itu sebagai salah satu usaha memulihkan para penagih supaya mereka dapat kembali menjalani aktiviti yang sihat di samping mendekatkan diri kepada jalan Allah.

“InsyaAllah Jabatan Narkotik Bukit Aman dan Kontinjen Pahang, kita akan berkolaborasi bersama Jabatan Mufti Pahang dan MUIP dan AADK.

“Idea baru yang dicadangkan oleh pihak mufti merupakan elemen masjid. Mufti dan MUIP dapat memantapkan lagi pemulihan dan pemantauan menerusi kepakaran yang ada mereka dalam membimbing bekas penagih selepas mereka keluar dari pusat-pusat pemulihan,” katanya.

Beliau berkata, bahagian narkotik di setiap negeri dan daerah akan sama-sama menggerakkan inisiatif tersebut sebagai salah satu kaedah dalam memerangi dadah di Malaysia dan berharap usaha murni ini akan dapat dilaksanakan dengan lancar.

Terdahulu Ayob turut mengunjungi tokoh-tokoh agamawan seperti Imam Besar Masjid Sultan Masjid Negeri 1, Datuk Badlishah Alaudin dan pendakwah selebriti terkenal, Datuk Ustaz Azhar Idrus ketika lawatan beliau ke negeri Pantai Timur. – MalaysiaGazette