Vladimir Putin. Foto TASS

LONDON: Presiden Vladimir Putin gembira apabila beberapa syarikat asing telah meninggalkan Rusia kerana perniagaan tempatan boleh menggantikan mereka.

Malah, beliau memberi amaran kepada Barat bahawa Moscow masih akan mencari jalan untuk memperoleh teknologi canggih dan barangan mewah.

Sejak perang, sebilangan besar pelabur asing utama – dari BP hingga McDonald’s Corp – bertindak menghentikan operasi mereka ketika ekonomi Rusia menghadapi penguncupan paling teruk sejak beberapa tahun seperti mana kegawatan ketika keruntuhan Soviet.

“Kadang-kadang apabila anda melihat mereka yang pergi – terima kasih Tuhan, mungkin? Kami akan menggantikan mereka dengan perniagaan kami, pengeluaran kami – ia telah berkembang dan ia akan selamat duduk di atas lokasi yang disediakan oleh rakan kongsi kami,” kata Putin.

Bercakap melalui pautan video kepada pemimpin negara bekas Soviet, Putin menyindir dengan berkata, kemewahan seperti Mercedes yang digemari oleh penyamun dalam kekacauan pasca-Soviet Rusia masih akan tersedia, walaupun beliau mengakui ia mungkin lebih mahal sedikit.

“Ia akan menjadi lebih mahal sedikit untuk mereka tetapi mereka ini adalah orang yang telah memandu Mercedes 600s dan mereka masih akan berbuat demikian. Saya boleh memberi jaminan bahawa mereka akan membawa Mercedes masuk dari mana-mana, dari mana-mana negara”.

Putin berkata, Rusia masih memerlukan akses kepada teknologi ekonomi termaju ekonomi.

“Kami tidak akan menjauhkan diri daripada ini – mereka mahu memerah kami sedikit, tetapi dalam dunia moden ini adalah tidak realistik, mustahil.”

Putin tidak menghuraikan bagaimana Rusia akan mencari jalan untuk mengekalkan akses kepada komponen dan perisian barat.

Putin percaya percubaan Barat untuk mengasingkan Rusia akan gagal kerana katanya ekonomi maju sedang bergelut dengan lingkaran inflasi, rantaian bekalan yang terputus dan krisis makanan sama seperti pusat kuasa ekonomi global telah berpindah ke Asia.

Sekatan Barat telah mencetuskan inflasi Rusia sambil menyelubungi rantaian bekalan, walaupun Putin berkata, negara itu menghadapi dengan baik kerana Rusia berpaling daripada Barat dan memihak kepada China, India dan kuasa lain.

“Sudah tentu perniagaan kami menghadapi masalah, terutamanya dalam bidang rantaian bekalan dan pengangkutan. Namun begitu, semuanya boleh diselaraskan, semuanya boleh dibina dengan cara baharu,” kata Putin.

“Bukan tanpa kerugian pada peringkat tertentu, tetapi ia membantu kami dalam satu cara untuk menjadi lebih kuat. Walau apa pun, kami pastinya memperoleh kecekapan baharu, kami mula menumpukan sumber ekonomi, kewangan dan pentadbiran kami pada bidang terobosan.

Bank pusat Rusia mengurangkan kadar faedah utamanya kepada 11 peratus pada Khamis dan Putin berkata, ia melihat ruang untuk lebih banyak pemotongan tahun ini kerana inflasi perlahan daripada paras tertinggi lebih 20 tahun dan ekonomi menuju ke arah penguncupan.

Pencerobohan Russia pada 24 Februari lalu ke atas Ukraine telah membunuh beribu-ribu orang, menyebabkan berjuta-juta lagi kehilangan tempat tinggal dan menimbulkan kebimbangan konfrontasi paling serius antara Rusia dan Amerika Syarikat sejak Krisis Peluru Berpandu Cuba 1962.

Putin berkata, Amerika Syarikat menggunakan Ukraine untuk mengancam Rusia melalui pembesaran NATO dan Moscow terpaksa mempertahankan diri daripada penganiayaan tersebut. – Reuters