PETALING JAYA – Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza berhasrat mengadakan konsert buat peminatnya pada tahun depan.
Beliau berkata, impian itu timbul selepas melihat industri hiburan kembali meriah selepas fasa peralihan endemik sejak 1 April lalu.
Apatah lagi kata ibu kepada dua anak itu, dia juga teruja dengan sambutan konsert rakan-rakan artis yang sangat menggalakkan.
“Industri seni sudah kembali aktif dan ramai rakan-rakan buat konsert di mana saya tumpang gembira dan bangga. Cuma saya punya konsert, perlu masa yang sesuai kerana sudah pertengahan tahun dan menuju ke hujung tahun.
“Insya-Allah untuk tahun ini satu konsert untuk syarikat yang saya sudah setuju. Maknanya untuk orang awam saya buat tahun depan,” katanya kepada media selepas Rumah Terbuka Aidilfitri CTDK Holdings di sini hari ini.
Siti Nurhaliza menambah, memandangkan ramai artis membuat konsert ketika ini, beliau ingin memberi laluan kepada mereka terlebih dahulu.
Jelas pelontar lagu Lip Lap Raya, sekurang-kurangnya terdapat jurang waktu antara konsertnya dan konsert penyanyi lain.
“Tapi saya ada perancangan buat persembahan eksklusif di mana akan diumunkan selepas mendapat tarikh dan lokasinya. Insya-Allah dalam bulan Oktober atau November ini,” katanya.
Industri seni kini kembali meriah apabila menyaksikan pertembungankonsert solo Hattan – 35 Years Journey pada 4 dan 5 Jun ini di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Turut berlangsung pada tarikh 4 Jun ialah Konsert Search Endemik di Zepp Kuala Lumpur, Bukit Bintang City Centre dan Showcase Amal Keluarga Malaysia Artis Lagenda 3.0 anjuran Nizam Laksamana di Bangi Resort Hotel, Bangi.
Pada masa sama, konsert Anuar Zain & Ziana Zain Live In Kuala Lumpur 2022 sudah habis dijual dalam tempoh 72 jam sahaja. – MalaysiaGazette