KUANTAN – Mayat seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun yang hilang selepas terjatuh dari rumah rakit di Bukit Rangin di sini dua hari lepas ditemui mati lemas hari ini.
Mangsa ditemui pukul 11.35 pagi tadi, kata Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Pahang (JBPM), Ismail Abdul Ghani.
Menurutnya, mayat dijumpai terapung daripada 1.5 kilometer lokasi mangsa dikatakan hilang.
Siti Nur Athhiyya Sofea Muhammad Sukri, 3, ditemui terapung di celahan pokok dalam sungai ditemui oleh abangnya bersama pasukan penyelamat dalam operasi mencari dan menyelamat memasuki hari kedua.
Anak bongsu daripada empat beradik itu dikatakan hilang semasa majlis jamuan raya di rumah rakit milik bapanya.
“Pagi ini, operasi mencari dan menyelamat (SAR) diperluaskan kira-kira tiga kilometer dari tempat kejadian melibatkan anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) JBPM selain orang awam yang membantu.
“Kali terakhir Siti Nur Athhiyya Soffea dilihat memakai baju kurung merah gelap majlis dilihat pukul 11.15 malam, Jumaat lalu sebelum dilaporkan hilang oleh bapanya,” katanya ketika dihubungi.
Turut menyertai SAR Ketua Polis Daerah Kuantan, Asistem Kommisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu.
Difahamkan bapanya, Muhammad Sukri, 56, memiliki dua rumah rakit yang dinamakan sempena nama mangsa terletak di atas Sungai Bukit Rangin sejak dua tahun lalu.
Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan oleh pasukan polis dan proses bedah siasat akan dijalankan pada Isnin sejurus keputusan ujian calitan Covid-19 diperoleh. – MalaysiaGazette