UniMAP turut menandatangani MoU dengan University of Politehnica of Bucharest (UPB) yang diwakili rektornya, Prof Mihnea Cosmin Costoiu di Romania semalam.

KUALA LUMPUR – Institut Pengajian Tinggi (IPT) Malaysia disaran memperluas kerjasama lebih besar seperti geran berkembar dan jalinan kolaborasi strategik dengan universiti teknikal luar negara bagi memperkasakan Pendidikan Teknikal & Latihan Vokasional (TVET).

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, dalam agenda memperkasakan TVET, Universiti Awam (UA) mahu pun IPT perlu mengambil inisiatif menjalinkan hubungan dengan IPT yang berteraskan TVET luar negara seperti usaha dijalankan oleh Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Ujarnya, bagi memperluas jaringan strategik antarabangsa, UniMAP menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Gheorghe Asachi Technical University of Iaşi (TUIASI) yang akan memberi tumpuan kepada bahan kitar semula dan penggunaan semula produk untuk menangani isu kemampanan alam sekitar seperti pengeluaran sisa, pencemaran alam sekitar dan perubahan iklim.

“Ini adalah kerana kemelesetan ekonomi global, penstrukturan semula industri, transformasi tenaga kerja menyebabkan IPT perlu mencari peluang bagi pembangunan profesional berterusan untuk kekal berdaya saing dan relevan,” katanya ketika menyampaikan ucapan selepas menyaksikan majlis menandatangani MoU berkenaan di TUIASI di IASI, Romania semalam.

Dalam majlis itu, Naib Canselor UniMAP, Prof Ts Dr Zaliman Sauli menandatangani memorandum berkenaan mewakili UniMAP manakala TUIASI diwakili rektornya, Prof. Dan Cașcaval.

Turut hadir Pesuruhjaya Tinggi Malaysia Ke Romania, Tengku Dato’ Sirajuzzaman Tengku Mohamed Ariffin, Ketua Pengarah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Dato’ Prof Dr Husaini Omar, Ketua Pegawai Ekesekutif (CEO) Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) Dato’ Prof Mohammad Shatar Sabran, dan Timbalan Rektor Hubungan Antarabangsa TUIASI, Prof.Irina Lungu.

Tambah Noraini, dalam rangka kerja MoU itu, KPT akan memberikan sokongan dan komitmen penuh kepada UniMAP dan TUIASI untuk menggalakkan dan mempromosikan kerjasama dalam pertukaran kepakaran; pengetahuan dan teknologi; untuk pembangunan kakitangan (profesional dan akademik); mengambil bahagian dalam program promosi, latihan dan pembangunan untuk pelajar dan kakitangan; dalam bidang serta untuk bekerjasama dalam mana-mana bidang lain yang dipersetujui bersama dari semasa ke semasa.

“Oleh itu, ingin saya cadangkan bahawa aktiviti dan program kerjasama ini juga harus memberi fokus kepada program berfokuskan keusahawanan yang mengajar pelajar kemahiran hidup penting sekaligus akan membantu mereka mengharungi masa depan yang tidak menentu ini.

“Kemahiran ini termasuk penyelesaian masalah, kerja berpasukan, empati, serta belajar menerima kegagalan sebagai sebahagian daripada proses pertumbuhan. Pelajar akan belajar cara mengaplikasikan kemahiran berfikir kreatif kepada masalah dunia sebenar,” ujarnya.

Terdahulu, Zaliman berkata, tahun ini merupakan tahun ke-10 UniMAP bekerjasama dengan TUAISI malah dua orang penyelidik UniMAP adalah penerima geran Erasmus+ Teaching Mobility : for Academic Staff di Faculty of Materials Science & Engineering TUAISI di mana penglibatan mereka adalah dengan menyampaikan kuliah dan penyelidikan bersama.

“Ia merupakan kali ke tiga penyelidik UniMAP menerima geran Erasmus+ yang merupakan salah satu agenda Kesatuan Eropah (EU) 2021-2027. Penyelidik terlibat adalah Prof. Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah & Prof Madya. Dr. Mohd Arif Anuar Mohd Salleh.

“Selain itu, sebanyak tujuh orang staf dan pelajar juga terlibat dengan International Mobility di Faculty of Materials Science & Engineering, TUIASI dalam sesi perkongsian berkenaan penyelidikan dengan pelajar dan staf di fakulti itu,” kata beliau.

Beliau berkata, bagi memantapkan jaringan kolaborasi strategik seperti yang disarankan KPT, UniMAP turut menjalinkan kerjasama dengan Technical University of Cluj-Napoca dan Technical University of Civil Engineering of Bucharest di Romania selain membuka kerjasama dengan UA yang lain di Romania seperti University Politehnica of Bucharest, University of Craiova dan lain-lain lagi.

Sebelum itu , UniMAP turut menandatangani MoU dengan University of Politehnica of Bucharest (UPB) yang diwakili rektornya, Prof Mihnea Cosmin Costoiu, iaitu universiti berteraskan teknikal dan Kejuruteraan penuh bersejarah yang mempunyai lebih 200 tahun pengalaman dalam bidang itu.- MalaysiaGazette