Jabatan Audit Negara Auditor General's Report
Jabatan Audit Negara

Menurut Laporan Ketua Audit Negara mengenai Pengurusan Syarikat Kerajaan negeri Pulau Pinang Tahun 2020 Siri 1, baki akaun hasil disatukan berkurangan sebanyak 23.1 peratus kepada RM887.78 juta berbanding RM1.155 bilion pada akhir 2019.

“Kutipan hasil berkurangan sebanyak 29.4 peratus menjadi RM467.28 juta berbanding RM661.52 juta pada 2019. Kerajaan negeri telah mengakhiri tahun kewangan 2020 dengan defisit berjumlah RM267.06 juta berbanding lebihan RM80.21 juta yang diperoleh pada 2019,” kata laporan tersebut yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Menurutnya, bagi Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2020 Siri 1 ini, pengauditan pengurusan syarikat kerajaan negeri melibatkan PDC Nusabina Sdn Bhd (PDCN) yang mana secara keseluruhannya, syarikat itu belum mencapai sepenuhnya objektif penubuhannya sebagai kontraktor yang bergiat dalam industri pembinaan.

“Prestasi aktiviti pembinaan bangunan, kejuruteraan awam dan penyenggaraan bangunan serta infrastruktur adalah baik kerana pendapatan yang diperoleh bagi 2018 hingga 2020 berjumlah RM72.87 juta telah menyumbang 98 peratus kepada pendapatan keseluruhan syarikat.

“Bagaimanapun, pelaksanaan aktiviti kurang memuaskan kerana projek lewat disiapkan, pelantikan subkontraktor yang bukan dalam senarai prakelayakan dan pertambahan kos buruh. Pengurusan pembayaran ‘site mea’l pula tidak jelas dan tidak terperinci,” katanya.

Menurut laporan itu, amalan tadbir urus korporat PDCN berada pada tahap kurang memuaskan yang mana tujuh aspek amalan terbaik tadbir urus korporat syarikat tidak diamalkan sepenuhnya.

“Dari segi aspek kedudukan kewangan, PDCN berada pada tahap kukuh kerana mencatatkan keuntungan bagi tempoh tiga tahun berturut-turut,” katanya. – MalaysiaGazette