Dua suspek ah long warga asing diberkas polis di Kuala Lumpur. - Gambar Ihsan JSJK KL

KUALA LUMPUR – Dua warga asing disyaki terlibat dengan kegiatan pemberian pinjaman wang tanpa lesen atau ah long telah diberkas polis di sini semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Mahidisham Ishak berkata, kedua-dua suspek lelaki itu berusia 28 dan 36 tahun.

Kedua-duanya ditahan pukul 10.19 malam di sebuah bank di Jalan Medan Tunku dan sebuah kondominium di Jalan Munshi Abdullah.

“Semasa tangkapan dibuat, polis merampas sebanyak 40 keping kad bank, lima unit telefon bimbit, seunit monitor dan CPU,11 keping penyata bank, satu kalkulator, satu buku nota, satu kad akses, serangkai kunci,dua unit router dan wang tunai RM3,000 disyaki hasil kegiatan ah long,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohd Mahidisham, hasil siasatan lanjut mendapati kedua-dua suspek berperanan sebagai ejen yang menyimpan kad ATM peminjam dan buat pengeluaran melaluinya setiap bulan.

“Modus operandi kedua-dua suspek adalah peminjam akan mencagar kad ATM kepada sindiket ah long. Pengeluaran wang akan dibuat setiap bulan melalui kad tersebut sehingga jumlah pinjaman telah selesai, barulah kad ATM dipulangkan semula kepada peminjam,” katanya.

Kedua-dua suspek telah direman sehingga 2 Jun ini untuk membantu siasatan.

Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 kerana menjalankan aktiviri pemberi pinjaman tanpa lesen.

“Polis menasihati orang ramai yang ingin membuat pinjaman agar melalui institusi kewangan berlesen dan tidak sewenang-wenang menyerahkan kad ATM atau butiran peribadi kepada pihak ketiga.

“Jangan bersubahat atau membantu kegiatan ah long kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 29 AA Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 yang boleh dikenakan penjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan,” ujarnya. – MalaysiaGazette