KUALA LUMPUR – Jangan cemas jika melihat pesawat tentera terbang rendah di beberapa kawasan sekitar Lembah Klang tidak lama lagi.
Itu nasihat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) kepada orang ramai bagi mengelak berlaku situasi panik memandangkan pesawat tentera terlibat dalam istiadat perbarisan sambutan Ulang Tahun TUDM Ke-64.
Ia akan diadakan pada Rabu ini di Pangkalan Udara Subang, kata Pegawai Perhubungan Awamnya, Mejar Salamah Jakaria dalam satu kenyataan hari ini.
“TUDM telah melaksanakan persiapan bagi istiadat perbarisan tersebut yang telah bermula pada 28 Mei sehingga hari sebenar sambutan pada 1 Jun 2022 yang akan disertai dengan terbang lintas hormat pesawat-pesawat TUDM.
“Sepanjang latihan bagi menyempurnakan acara sambutan, pesawat-pesawat TUDM akan melaksanakan penerbangan rendah dan penerbangan taktikal bagi latihan demonstrasi keupayaan semasa Hari Ulang Tahun TUDM ke-64,” katanya.- MalaysiaGazette