Pemandu Perodua Myvi yang didakwa memandu secara melulu dan merbahaya diiringi anggota polis di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 30 MEI 2022.

KUALA LUMPUR- Pemandu Perodua Myvi berwarna putih yang tular kerana mencetuskan provokasi di Lebuh Raya MRR2, awal bulan ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, pagi tadi.

Tertuduh Yuvarajan Muniandy, 32 tahun berhadapan dua pertuduhan berasingan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mengikut pertuduhan pertama, Yuvarajan didakwa memandu kereta Myvi dengan nombor pendaftaran PGT 124 secara melulu dan berbahaya kepada pengguna jalan raya lain, kira-kira jam 5.30 petang, 7 Mei lalu.

Dia didakwa di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih lima tahun dan denda di antara RM5,000 hingga RM15,000.

Pesalah juga akan hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu tidak kurang lima tahun dan lesen memandu percubaan dibatalkan serta kesalahan akan diperakukan pada lesen memandu.

Bagi kesalahan kedua, Yuvarajan pada hari, waktu, lokasi dan kereta yang sama dituduh menggunakan nombor pendaftaran kenderaan palsu.

Dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 108(3)(e) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Jika sabit kesalahan dia boleh didenda di antara RM5,000 hingga RM20,000 atau penjara selama satu hingga lima tahun atau kedua-duanya.

Pada 9 Mei lalu, Yuvarajan ditahan selepas tular di media sosial apabila video berdurasi 27 saat dimuat naik melalui laman Facebook ‘Inforoadblock’ memaparkan kejadian memandu secara berbahaya dan ugutan menggunakan sebatang kayu di Jalan MRR2 berhampiran Taman Layang-Layang, Kuala Lumpur. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast