Norena Jaafar (tengah) bersama pegawai KPDNHEP memeriksa lori dilengkapi tangki tambahan di sebuah premis yang dijadikan stor stor haram penyimpanan diesel disyaki untuk diseleweng di kawasan Perindustrian Krubong, Melaka, hari ini.

MELAKA – Tindakan satu sindiket mengumpul 10,000 liter minyak diesel bersubsidi yang dibeli di stesen minyak sekitar negeri ini sebelum menjualnya semula di pasaran gelap tumpas apabila bahan api itu dirampas semalam.

Serbuan yang dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka kira-kira jam 7 malam itu bagaimanapun gagal memberkas dua suspek lelaki yang dipercayai ahli sindiket.

Pengarah KPDNHEP negeri, Norena Jaafar berkata, ketika serbuan, suspek berjaya melarikan diri meninggalkan premis yang dijadikan setor-setor haram penyimpanan diesel disyaki untuk diseleweng di kawasan Perindustrian Krubong.

“Kita sudah membuat risikan selama seminggu di premis berkenaan termasuk kenderaan yang digunakan untuk membeli minyak diesel di stesen minyak sekitar negeri ini.

“Taktik digunakan adalah dengan membuat isian diesel antara RM300 sehingga RM500 menggunakan kad kredit di stesen minyak sekitar Melaka menggunakan lori tiga tan yang telah diubah suai,”katanya ketika ditemui media dalam serbuan hari ini.

Menurutnya, dalam serbuan itu, pihaknya menemui kira-kira 10,000 liter diesel di dalam 18 tangki tambahan lori yang digunakan dan dua motosikal serta paip penyambung, keseluruhannya dianggarkan bernilai RM135,000.

Jelas Norena, ketika serbuan dua lelaki yang sedang menyedut diesel ke tangki besar daripada sebuah lori bertempiaran lari dengan memanjat tembok sebelum lari ke kawasan semak berhampiran setor.

“Pemeriksaan lanjut menjumpai sebuah tangki minyak dengan kapasiti 20,000 liter yang mana jika ianya penuh, mereka boleh mengaut keuntungan sehingga RM400,000.

“Kita percaya suspek mula aktif dalam kegiatan ini sejak seminggu lalu dan cuba memasarkan minyak diesel ini kepada pengguna industri di pasaran gelap pada harga sekitar RM4 seliter berbanding harga sebenar RM4.20 hingga RM4.30,” katanya.

Katanya, serbuan itu merupakan kejayaan kedua pasukan KPDNHEP Melaka tahun ini dan siasatan lanjut akan dibuat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun bagi orang perseorangan manakala bagi pertubuhan, denda maksimum RM3 juta bagi kesalahan pertama atau maksimum RM5 juta bagi kesalahan kedua dan seterusnya jika sabit kesalahan.