KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengingatkan umat Islam agar mencari guru bertaraf mursyid atau yang mengamalkan ilmunya dalam proses pembelajaran agama Islam di negara ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Idris Ahmad berkata, pihaknya menyediakan pelbagai kemudahan agama termasuk surau dan masjid bagi memudahkan pembelajaran dalam mendalami ilmu agama Islam.
“Kita nak belajar apa-apa agama sekalipun biarlah kita belajar dengan guru yang mursyid.
“Ia bermaksud guru yang kita tengok dia beramal dengan ilmu dia, jadi kalau kita tengok pelik-pelik sangat ilmu itu, tak usah belajar dengan dia.
“Sebab itu kita sedia tempat, kita mengaji surau masjid semua tempat agar selesa, ada penghawa dingin, ada karpet
“Buat apa kita nak tempat yang susah kita nak belajar,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Terdahulu beliau menyempurnakan Majlis Apresiasi Kunjung Serah Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT) Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) Wilayah Persekutuan di Masjid Az-Zubair Ibnu Awwam, Cheras.
Hadir sama Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Mohd Ajib Ismail.
Beliau menyatakan demikian bagi mengulas perbuatan individu tertentu yang menjadikan kipas sebagai makmum ketika menunaikan solat.
Ia susulan video tular baru-baru ini, khususnya di aplikasi TikTok, yang memaparkan tindakan individu, rata-rata berstatus bujang berlakon menunaikan solat dengan menjadikan kipas sebagai makmum atau imam.
Dalam pada itu, Idris berkata, Islam itu mudah dan proses pembelajaran boleh didapati daripada pihak berkuasa agama.
“Saya tak nak pada akhirnya kita anggap Islam itu payah sedang Islam itu senang. Nabi pun sebut permudahkan jangan memayahkan
“Bila kita faham Islam, mudah, macam kita semua faham Islam, mudah tak ada apa, tak susah apa.
“Perkara pertama nak belajar kena ada ilmu, kalau tak ada ilmu nanti susah, buat letih sahaja, Allah tak terima ibadat kita nanti,” katanya lagi. – MalaysiaGazette