Pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Abd. Razali hadir ke mahkamah bagi pendengaran permohonan untuk mendapatkan semula lima anak angkatnya yang kini berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto MUHD NA'IM, 13 APRIL 2022.

KUALA LUMPUR – Remaja kelainan upaya (OKU), Bella dibiarkan tidur sendirian dalam bilik membasuh pakaian (laundry) tanpa sebarang tilam, alas, selimut dan bantal.

Saksi kelapan pihak pendakwaan, Suhana Zam,40, berkata, dia menyedari nasib malang menimpa Bella ketika tidur di kondominium yang disewa oleh pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali di Kondo Irama Wangsa, Wangsa Maju pada 21 Mei 2021.

Suhana yang mengenali Siti Bainun sejak tahun 2009 berkata, semasa kejadian, dia merancang untuk tidur di kondomium berkenaan selama dua hari kerana mahu menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama-sama penghuni rumah berkenaan.

Beliau yang merupakan pegawai penyelidik undang-undang di sebuah firma peguam terkejut melihat Bella dibiarkan tidur begitu.

“Saya buat kerja sampai (pukul) empat pagi. Saya pergi ke dapur hendak buang sampah, saya ingat tong sampah ada di bahagian laundry.

“Saya cuba buka pintu, saya tak buka lampu saya tersepak sesuatu di atas lantai. Kemudian saya buka lampu, saya lihat Bella baring di atas lantai tanpa selimut, tanpa alas tidur, tanpa bantal.

“Saya terkejut dan tergamam. Sewaktu pertama kali nampak saya tak tahu nak buat apa sebab pada waku itu pukul empat pagi, saya sudah letih sangat. Saya tergamam dalam tempoh 10 hingga 15 saat.

“Saya tidak percaya dengan apa yang sana nampak. Saya tutup pintu, saya tutup lampu, saya kunci kemudian masuk bilik (sendiri) dan baring,” kata Suhana ketika ditanya oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad semasa sesi pemeriksaan utama.

Tambah beliau, pada sebelah siang ketika jamuan raya, Bella tidak memakai pakaian baharu seperti kanak-kanak lain yang tinggal di kondominium bersebut.

Siti Bainun hanya menyuruh salah seorang penghuni bernama Aida memakaikan Bella baju raya selepas ditegur.

“Mula-mula Bella berdiri dekat peti ais sebab ramai orang. Bila masa hendak salam, saya ingat lagi Kak Haiza ada cakap ‘Bella mari sini sekali.’

“Masa itu Bella pakai pakaian duduk rumah. Dia bukan pakai baju raya. Yang lain masa itu semua pakai baju raya. Dia pakai kemeja-T dan seluar. Bila Kak Haizah sudah panggil dengan kuat Bainun terdengar. Lepas itu Binun kata dengan Aida ‘Aida pergi tukar baju Bella’,” kata Suhana.

Menurutnya, Aida mematuhi arahan Siti Bainun dan mengantikan baju Bella dengan pakaian raya yang baru iaitu baju kurung.

Tambah Suhana, ketika bersalaman baru bermula, Siti Bainun meminta Aida membetulkan pakaian Bella kerana luka yang berada di badan remaja itu terdedah.

“Saya dengar Bainun cakap ‘betulkan dia punya butang itu. Pasang tinggi sikit. Nanti orang nampak luka itu, kata saya dera dia pula,” kata Suhana.

Tambahnya, kejadian Bella tidur di dalam bilik laundry bukan hanya sekali kerana remaja didapati masih tidur di bilik yang sama pada malam kedua dia berada di kondominium itu.

Suhana berkata, dia nampak Siti Bainun menghampiri Bella yang berdiri di depan peti ais pada pukul 12.00 tengah malam.

“Bila semua orang sudah balik, keadaan sudah relaks saya sambung buat kerja pejabat. Saya duduk di meja makan. Masa itu saya perasaan Bella ada berdiri depan peti ais.

“Apa yang jadi malam sebelum itu menyebabkan saya berdebar-debar melihat Bella berdiri di situ. Saya melihat dia dari ekor mata sahaja.

“Dalam pukul 12 lebih saya perasan Bainun pergi ke dapur lepas itu saya perasaan dia minta Bella masuk ke dalam bilik laundry dengan menggunakan isyarat tangan,” katanya.

Menurut Suhana yang mengenai Siti Bainun ketika bekerja di Menara Dato’ Onn di sini selepas Bella masuk dalam bilik laundry pengasas Rumah Bonda itu menuju ke biliknya sendiri untuk tidur.

Siti Bainun, 30, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

Dia didakwa melakukan perbuatan di sebuah kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.

Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi bersambung pada 30 Jun nanti.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast