Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Shahrul Nasrun Kamarudin beraah mesra bersama orang ramai yang hadir pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidil Fitri di Dewan Dato Ahmad Razali Ampang, Selangor. Foto MUHD NA'IM, 30 MEI 2022.

AMPANG – Langkah Datuk Zuraida Kamaruddin yang  keluar parti untuk kali kedua tidak bermakna ia laluan mudah kepada UMNO merampas kembali kerusi Parlimen Ampang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Shahrul Nasrun Kamaruddin berkata, walaupun tindakan Zuraida itu boleh menjejaskan masa depan politiknya namun keupayaannya mempertahankan kerusi Ampang tidak boleh dipandang rendah.

“Kita tidak boleh memandang rendah, kalau kita lihat Datuk Zuraida merupakan ahli Parlimen selama tiga penggal di Ampang.

“Kita tahu Datuk Zuraida juga kerap mendekati rakyat,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Dewan Datuk Ahmad Razali di sini malam tadi.

Sebelum ini, Zuraida mengumumkan keluar daripada parti Pribumi Bersatu Bersatu Malaysia (Bersatu) dan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) pada 26 Mei lalu.

Bukan sahaja parti, Zuraida turut meletakkan jawatan sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi pada Khamis lalu.

Shahrul Nasrun bagaimanapun berkata, sayap UMNO juga mempunyai kelebihan untuk membantu parti bagi memenangi PRU-15 akan datang.

“Apa yang perlu kita lihat kelebihan yang kita ada ialah kita sentiasa bersatu. Mandat daripada rakyat itu diberikan kepada parti bukan kepada individu.

“Oleh itu kita di Barisan Nasional (BN) kita tidak memilih sesiapa sahaja calon, kita membawa calon ke parti,” katanya.

Beliau juga mengharapkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi peluang kepada calon anak muda sama seperti laluan yang diberi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

“Kita harapkan pucuk pemimpin dapat memberikan peluang lebih lagi kepada anak muda di mana di Johor kita lihat lima Ketua Pemuda UMNO menang dan tiga orang dilantik sebagai Exco.

“Saya yakin dengan kepimpinan Datuk Seri Zahid yang amat berani untuk menampilkan lebih ramai calon muda,” katanya.

Ditanya tentang cabaran UMNO untuk merampas kerusi di kawasan bandar yang lebih memihak kepada Pakatan Harapan (PH), beliau berkata, ada keperluan untuk menampilkan manifesto mengikut lokaliti tertentu.

“Manifesto bagi setiap lokaliti itu juga penting berkisar kepada permasalahan setiap kawasan. Walaupun kita ada manifesto di peringkat pusat, manifesto setiap tempat dan Parlimen itu perlu dijadikan sebagai keutamaan.

“Apa masalah di Ampang, contohnya masalah air, sampah, kepadatan penduduk, masalah setinggan, masalah ekonomi, pusat perniagaan untuk orang muda.

“Ini akan dijadikan manifesto bagi Pemuda sekiranya kita diberikan peluang PRU-15. Insya-Allah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette