PUTRAJAYA – Pertubuhan Aspirasi Wanita Malaysia (ASWA) menggesa kerajaan agar segera menggubal satu akta khusus berkaitan anti buli bagi memastikan aktiviti buli tidak terus dipandang sepi.
Pengerusinya, Wan Azliana Wan Adnan berkata, langkah itu perlu dalam usaha menangani masalah terbabit yang semakin berleluasa di peringkat sekolah rendah dan sekolah menengah.
“Kita tidak mahu mangsa terus jadi mangsa, sudahlah jadi mangsa pembuli kemudian di peringkat sekolah ada birokrasi dimana mereka jadi mangsa lagi.
“Jadi mana keadilan untuk mangsa-mangsa buli, trauma ini saya boleh katakan akan beri kesan selama-lamanya. Ada yang mengalami depresi tahap empat dan bergantung kepada ubat-ubatan.
“Adakah dengan menggantung pembuli selama 14 hari memadai dengan kecederaan yang dialami mangsa-mangsa, sampai retak dan gegendang telinga pecah, saya rasa sudah tiba masanya untuk kerajaan gubal akta anti buli ini,” katanya dalam sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP), di sini, hari ini.
Perkara itu disampaikan Wan Azliana selepas menemui bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung satu memorandum Akta Anti Buli kepada kerajaan.
Kata beliau, pihaknya memohon Dr. Mahathir sebagai Ahli Parlimen Langkawi menyokong dan memastikan memorandum tersebut sampai ke Parlimen.
“Setelah Tun mendengar daripada mangsa buli sendiri, beliau merasakan perlu ada akta seperti ini di mana kita tidak ada undang-undang khusus dan masih menggunakan Kanun Keseksaan jadi kita perlukan akta ini untuk tangani kes-kes buli,” katanya lagi.
Selepas ini, pihaknya akan menyerahkan memorandum ini kepada Kementerian Pendidikan (KPM), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Hal Ehwal Undang-undang). – MalaysiaGazette