Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melambai tangan ke arah peserta yang hadir pada Konvensyen Barisan Nasional 2022 dan Sambutan Ulang Tahun Barisan Nasional ke-48 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto HAZROL ZAINAL, 01 JUN 2022.

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan memperkenalkan sumbangan kewangan terus kepada golongan B40 akibat kenaikan harga barang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sumbangan itu serentak dengan usaha kerajaan dalam mengambil langkah drastik dengan membatalkan kelulusan kuota import (AP) makanan.

Menurut beliau, ini bagi mengatasi kekurangan bekalan makanan di pasaran, termasuk untuk menstabilkan bekalan serta menyekat manipulasi harga barangan oleh orang tengah.

“Mulai 1 Julai ini, kita tidak lagi akan memberikan subsidi kepada penternak, tetapi akan beri subsidi kepada rakyat yang memerlukan khususnya golongan B40.

“Ini bagi mengurangkan bebanan rakyat supaya tidak terlalu merasai kenaikan harga barang, dengan KPDNHEP dan MAFI akan mengumumkan secara terperinci,” katanya pada Konvensyen Barisan Nasional (BN) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC), di sini, hari ini.

Menurutnya, kerajaan akan memperkenalkan kembali Jihad Memerangi Orang Tengah yang telah dilaksanakan ketika menerajui MAFI pada tahun 2014.

Manakala, katanya, Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) diberikan tanggungjawab untuk mengetuai Jihad Memerangi Orang Tengah itu.

“Bagi menjamin sumber makanan mencukupi untuk keperluan Keluarga Malaysia, kerajaan memperkenalkan satu Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan 2021-2025.

“Kerajaan telah menaikkan gaji minimum daripada RM1,200 sebulan kepada RM1,500 sebulan bertujuan untuk meringankan beban Keluarga Malaysia,” katanya.

Ismail Sabri berkata, kerajaan turut menubuhkan Tabung Agromakanan sebanyak RM500 juta dalam bentuk soft loan dan juga mengenal pasti Pertubuhan Peladang dan Koperasi untuk dibantu dari segi kewangan.

Katanya, kerajaan juga akan mewujudkan stok penimbal bagi ayam, daging dan ikan, selain menyekat eksport ayam sebanyak 3.6 juta sebulan ke luar negara demi kepentingan rakyat.

Bagi mengurangkan jurang pembangunan bandar dan luar bandar, Perdana Menteri berkata, kerajaan memperuntukkan sebanyak 50 peratus daripada keseluruhan Peruntukan Pembangunan Asas Persekutuan dalam RMK-12.

“Bagi Keluarga Malaysia di Sabah dan Sarawak, usahlah bimbang, kerajaan Keluarga Malaysia tidak akan meminggirkan sesiapa pun. Ini jaminan saya.

“Selain daripada peruntukan asas pembangunan, kerajaan juga telah merancang projek pembinaan rumah baharu dan pembaikan rumah daif di bawah program bantuan rumah yang akan memberi manfaat kepada 26,000 isi rumah miskin di Sabah dan Sarawak.

“Manakala Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) di Sabah dan Sarawak melibatkan 20 lokaliti di bawah fasa pertama,” katanya. – MalaysiaGazette