HAWANA 2022 - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu memberikan ruang dan kebebasan yang luas kepada pengamal media untuk melapor perkembangan semasa sama ada di dalam mahupun luar negara.

Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM), Shahir Adnan berkata, langkah itu adalah wajar selagi tugas seseorang pengamal media tidak bercanggah dengan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, pengamal media perlu diberikan kebebasan berkarya untuk memberikan laporan terbaik kepada rakyat dan perkara itu dapat dilihat di dalam pentadbiran kerajaan hari ini.

“DPIM berharap semua pengamal media, terutama wartawan yang melaporkan berita kepada rakyat agar menjadikan prinsip al-amanah dan as-siddiq sebagai panduan.

“Al-Amanah bermaksud jujur dalam menyampaikan berita dan tidak melaporkan berita yang ditambah perasa untuk rating sahaja manakala, As-Siddiq pula bermaksud melaporkan sesuatu yang benar, dan bukannya “fake news” yang tidak disiasat dengan teliti,” katanya menerusi kenyataan harinini.

Shahir berkata, penambahbaikan yang boleh dilaksanakan kepada pengamal media di negara ini adalah untuk memberikan ruang kepada mereka bagi melaksanakan lebih banyak dialog, debat dan diskusi ilmiah agar rakyat mendapat manfaat.

Seharusnya kata beliau, kerajaan dan pihak media tidak perlu risau dengan saranan ini kerana rakyat Malaysia sudah mula mempraktikkan politik matang.

Pada masa sama katanya, pemegang taruh kepada syarikat-syarikat media dan agensi berita perlu mengambil pendirian neutral dalam semua segi.

Dengan ini, Hari Wartawan Nasional (Hawana) bakal melonjakkan profesion pengamal media di persada antarabangsa, ujarnya.

Shahir Adnan

“Hawana yang disambut baru-baru ini merupakan berita baik buat semua kerana pengamal media di negara ini.

“kerajaan dan Kementerian Komunikasi memberi pengiktirafan kepada status sambutan Hawana, yang menjadikan Hawana sebagai agenda nasional untuk mengiktiraf peranan profesion wartawan dan pengamal media.

“Hawana bakal melonjakkan lagi profesion pengamal media di persada antarabangsa sekaligus menjadikan kerjaya tersebut setanding bidang profesional yang lain,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast