SHAH ALAM – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mensasarkan seramai 6,000 orang mendaftar di bawah sistem pintar baharu, Sistem Wasiat dan Hibah (SISWA), pada tahun ini.
Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berharap dengan adanya sistem tersebut, pengurusan harta yang boleh dibuat secara dalam talian itu akan memudahkan umat Islam.
“Saya menyeru masyarakat Islam menyedari dan jadikan budaya amalan hidup kita bila sampai umur rasa tidak lama lagi cepat lah buat hibah ini, budayakan supaya tidak berlaku pergaduhan, perselisihan di antara keluarga (waris),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian SISWA dan majlis Hi-Tea bersama pengamal media di sini, hari ini.
SISWA yang dilancarkan hari ini bertujuan untuk memudahkan masyarakat Islam menguruskan wasiat dan hibah secara mudab dan pantas melalui dalam talian.
Beliau turut berharap agar MAIS yang menjadi pengendali akan dapat menyelesaikan urusan hibah dan wasiat dengan pantas.
Melalui SISWA, MAIS telah menaik taraf sistem e-Wasiat sedia ada kepadasistem baharu dengan menggabungkan dua elemen penting dalam pembahagian harta iaitu wasiat dan hibah dalam satu sistem pintar.
Jelas Setiausaha MAIS, Dr Ahmad Shahir Makhtar, permohonan dan kelulusan menerusi sistem berkenaan diuruskan 100 peratus secara dalam talian selain menawarkan penggunaan Electronic Know Your Customer (EKYC) yang diiktiraf oleh Bank Negara Malaysia (BNM).
SISWA juga menggunakan tandatangan digital yang tertakluk di bawan Akta Tandatangan Digital 1997 dan pengesahan transaksi oleh permohonan dilakukan secara One-Time Password (OTP).
Menurut Ahmad Shahir, sehingga kini MAIS telah menguruskan sebanyak 3,196 permohonan wasiat dan hibah.
Sementara itu, MAIS turut melancarkan Kempen Bulan Kesedaran Wasiat dan Pusaka Negeri Selangor yang diadakan bermula 1 hingga 30 Jun ini. – MalaysiaGazette