MELAKA – Bekalan ubat jenis sirap demam dan antibiotik di farmasi dan hospital swasta termasuk di negeri ini dikesan berkurangan hampir 50 peratus.

Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, keadaan itu dipercayai berpunca daripada peningkatan kes penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD) di seluruh negara ketika ini.

Menurutnya, susulan itu, satu jawatankuasa ditubuhkan untuk mencari punca dan menangani isu terbabit termasuk mengawal supaya tidak berlaku kenaikan mendadak ubat asas berkenaan.

“Tadi pun, selepas mesyuarat Exco, Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) putuskan akan panggil bersama Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan syarikat farmasi di Melaka untuk cari jalan penyelesaian.

“Masalah kekurangan hampir 50 peratus ubat-ubatan asas berlaku pada banyak jenis ubat, antaranya ubat demam sirap paracetamol dan antibiotik dikesan sejak akhir Ramadan lalu, terutamanya apabila kes HFMD semakin meningkat.

“Namun ia hanya berlaku di farmasi dan klinik swasta yang mendapat bekalan ubat dua minggu atau sebulan sekali berbanding hospital kerajaan yang tiada masalah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Sambutan Hari Jururawat Peringkat Negeri Melaka di sebuah hotel di Bukit Katil, di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah Kesihatan Negeri Melaka Dr Rusdi Abd Rahman.

Dr Muhamad Akmal (dua dari kanan) merasmikan Sambutan Hari Jururawat Peringkat Negeri Melaka di sebuah hotel di Bukit Katil di sini hari ini.

Isnin lalu, MalaysiaGazette melaporkan kebimbangan Persatuan Doktor-Doktor Islam Malaysia (Perdim) tentang kekurangan bekalan ubat-ubatan di klinik-klinik swasta ekoran beberapa pembekal utama tidak dapat memenuhi permintaan.

Presiden Perdim, Dr Boi Saidi Abdul Razak mendakwa, pembekal memaklumkan masalah ini wujud kerana mereka tidak mendapat bahan mentah yang mencukupi untuk menghasilkan ubat.

Akibatnya, klinik-klinik swasta kini mengalami penyusutan bekalan ubat demam, batuk dan antibiotik.

Mengulas lanjut, Dr Muhamad Akmal turut menggesa rakyat agar tidak membuat pembelian panik atau menyimpan ubat-ubatan yang tidak diperlukan yang hanya akan memburukkan keadaan.

“Kita tak nak, isu ayam (kekurangan bekalan) berlaku pada ubat, kalau demam beli sepapan dua (ubat), tak perlu beli berkotak-kotak dan simpan.

“JKNM juga mohon Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ambil perhatian serius untuk menyelesaikan masalah ini,” katanya. – MalaysiaGazette