KUALA LUMPUR – Penahanan seorang pemain bola sepak liga tempatan bagi membantu siasatan kes rogol seorang remaja perempuan di Kelantan menyebabkan ada pihak sengaja membuat spekulasi apabila menuduh pemain dari negeri itu sebagai suspek.
Antara nama yang menjadi mangsa tuduhan termasuk penyerang Kelantan FC, Nurshamil Abd Ghani kerana kononnya dia bermain untuk negeri itu serta berusia 28 tahun.
Berani kerana benar, Nurshamil tampil menyifatkan perkara tersebut sebagai fitnah akhir zaman.
Jelasnya, beliau ketika ini berada di Sungai Buloh, Selangor untuk menghabiskan masa cuti selama seminggu bersama isteri dan anak-anaknya.
Apatah lagi, dia masih belum menjejakkan kaki ke Kelantan pada musim ini berikutan Kelantan FC masih mengadakan sesi latihan di Nilai, Negeri Sembilan.
“Yang hairan tu jenis yang palatao petik-petik nama dengan confident (yakin).
“Nanti sudah tahu siapa ‘pemain liga tempatan Kelantan yang buat hal tu, jangan lupa buat solat taubat. Sesungguhnya memfitnah itu adalah dosa yang amat besar,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook miliknya semalam.
Menerusi satu hantaran lain, Nurshamil mengingatkan kepada pentadbir-pentadbir halaman atau page administrator yang memetik namanya sebagai suspek kes itu bahawa dosa bukanlah perkara yang boleh dibuat main.
“Selagi orang yang difitnah itu tak memaafkan selagi itu dosa fitnah tak terhapus. Dan yang mana masih tertanya, kes ini tak ada kena mengena dengan semua pemain-pemain TRW Kelantan FC,” katanya.
Selasa lalu, Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun dilaporkan berkata, tangkapan pemain bola sepak yang berusia 28 tahun itu dibuat di Jalan Pantai Cahaya Bulan, Kota Bharu, Kelantan malam Ahad lalu selepas mangsa berusia 18 tahun membuat laporan. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Polis tahan pemain bola sepak bantu siasatan kes rogol remaja perempuan