Menteri Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin ketika berucap pada sidang media khas mengenai Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) di Pejabat Kementerian Pendidikan Malaysia, Putrajaya. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 02 JUN 2022.

PUTRAJAYA – Keputusan Pentaksiran ke Sekolah Khusus (PKSK) yang mula diguna pakai sejak 2020 masih kekal digunakan untuk kemasukan ke sekolah khusus.

Justeru Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, keputusan Ujian Akhir Sesi Akademik dalam pentaksiran sumatif yang bermula tahun ini tidak akan digunapakai.

“Pendekatan untuk masuk (ke sekolah khusus) adalah, murid yang berminat perlu menduduki pentaksiran berasingan iaitu PKSK.

“Itu adalah pendekatan yang kita gunakan. Jangan nanti ingat kita tidak ada PKSK kerana ia kekal dan akan digunakan untuk kemasukan sekolah khusus,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di sini hari ini.

Beliau ditanya sama ada keputusan Ujian Akhir Sesi Akademik dalam pentaksiran sumatif akan dijadikan penilaian untuk kemasukan ke sekolah khusus.

Sekolah khusus merujuk kepada Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Sekolah Menengah Teknik (SMT), Kolej Vokasional (KV) dan Maktab Tentera Diraja (MTD).

Mengulas lanjut, Radzi berkata, kedua-dua pentaksiran itu kekal dilaksanakan secara berasingan seperti sebelum ini.

Beliau berkata, PKSK mempunyai prosedur sendiri dan KPM akan mengumumkan bila murid akan boleh mendudukinya.

“Tujuan kita adalah kita tidak mahu ujian ini (Ujian Akhir Sesi Akademik) dijadikan ‘high stakes exam’ (ujian penting) yang semua memberikan tekanan untuk masuk asrama,” katanya.

Mengenai pemilihan aliran sama ada Sains atau Sastera di Tingkatan Empat, Radzi berkata, perbincangan akan diadakan dengan guru, murid serta ibu bapa dan pelaporan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) akan membantu penetapan itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast