KUALA LUMPUR – Kelab Bola Sepak Penang (PFC) mengumumkan bekas pengendali Melaka United, Zainal Abidin Hassan sebagai Ketua Jurulatih skuad Harimau Kumbang baharu bagi mengharungi baki saingan Liga Malaysia musim ini bagi mengantikan Tomas Trucha.
Zainal pernah mengemudi pasukan Penang FA pada tahun 2017-18 sekali lagi diberi kepercayaan dalam menggalas tugas yang amat berat untuk mencetuskan kebangkitan semula Penang FC.
“Kepercayaan yang diberikan bukan semata-mata atas ciri-ciri jenis dan corak permainan, taktikal dan kecergasan, malah mengambil kira segala faktor luar dan dalam padang yang boleh menjadi pengaruh yang positif untuk kebangkitan semula ini.
“Dalam meraikan mutu pengadilan yang luhur dan adil serta bijaksana dalam setiap perlawanan melibatkan Penang FC, Coach Zainal Abidin Hassan juga diharapkan dapat mengekalkan perhubungan mesra yang terjalin dengan semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam penganjuran sukan rakyat yang paling berprestij ini,” kata kenyataan rasmi PFC hari ini.
Sebelum ini, Zainal membimbing pasukan Melaka United selama tiga tahun.
Namun bekas tonggak kebangsaan itu diganti dengan jurulatih baharu biar pun berjaya membawa skuad Sang Kancil melangkah ke separuh akhir Piala Malaysia musim lalu.
Dia pernah dikritik oleh para peminat pada awal musim lalu gara-gara prestasi Melaka United ibarat yo-yo.
Malah Melaka United hampir melangkah ke zon penyingkiran ketika liga berbaki empat perlawanan lagi sebelum sebuah syarikat pengeluar sarung tangan, KenTeam Sdn Bhd (KenTeam) mengambil alih pengurusan pasukan terbabit.
Zainal kemudiannya dikekalkan sebagai ketua jurulatih oleh pengurusan baharu dan membalas kepercayaan itu apabila memastikan Melaka United kekal dalam Liga Super. – MalaysiaGazette