Tengku Zafrul Abdul Aziz Kuala Selangor
Tengku Zafrul Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan (MOF) telah menerbitkan Kenyataan Pra-Bajet (KPB) sebagai persediaan untuk Bajet 2023 yang akan memberi keutamaan kepada memperkukuh momentum pemulihan ekonomi semasa dan meneruskan pembaharuan bagi meningkatkan daya tahan sosioekonomi.

Menterinya, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, KPB ini merupakan penerbitan kedua selari dengan amalan terbaik global dalam menggalakkan wacana awam mengenai bajet negara serta meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti dalam proses penyediaan bajet dan pada tahun ini.

Ia mengetengahkan tiga aspek utama yang merangkumi pemulihan, pembaharuan dan daya tahan ekonomi negara iaitu memanfaatkan momentum pemulihan yang memberangsangkan pada awal tahun 2022 serta pertumbuhan dan peluang di peringkat global dijadikan asas kukuh dalam penyediaan Bajet 2023 bagi memperkukuh pemulihan Malaysia pasca Covid-19.

Selain itu, keperluan mengukuhkan daya tahan ekonomi dan fiskal negara pada tahun 2023 dan masa hadapan di samping menguruskan risiko pertumbuhan antaranya disebabkan oleh ketegangan geopolitik serta gangguan rantaian bekalan yang
menyebabkan peningkatan harga komoditi dan makanan global secara drastik dan peralihan strategik daripada fasa pemulihan semasa ke arah pembaharuan jangka masa panjang bagi mewujudkan peluang pendapatan yang lebih baik, meningkatkan kesejahteraan holistik serta pembangunan sosioekonomi yang lebih inklusif dan mampan demi Keluarga Malaysia.

Menurut beliau, KPB juga memberi tumpuan kepada tiga bidang khusus dalam Bajet 2023 dengan merangka inisiatif berpaksikan rakyat terutamanya yang menjana peluang pekerjaan, meningkatkan pendapatan, memperkukuh perlindungan sosial seterusnya menambah baik kesejahteraan sosioekonomi rakyat.

Ia juga mewujudkan persekitaran perniagaan yang kondusif terutamanya dalam meningkatkan daya saing dan produktiviti perusahaan kecil dan sederhana (PKS), mempergiat pemulihan pelancongan dan sektor lain yang terjejas akibat pandemik, memanfaatkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju kewangan Islam serta memangkin bidang pertumbuhan baharu dengan meningkatkan kedudukan industri dalam rantaian nilai.

Memacu model pembangunan yang lebih inklusif dan mampan untuk menyokong pertumbuhan ekonomi terutamanya dalam merapatkan jurang antara wilayah dan komuniti serta menggalakkan pembangunan mampan dan mengukuhkan jaminan keselamatan makanan.

”Sebagai pemboleh daya penting dalam memacu pembangunan negara, Bajet 2023 juga akan memberi tumpuan kepada meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan awam dan memudah cara urusan menjalankan perniagaan.

”MOF juga akan mula melaksanakan sesi libat urus dan konsultasi dengan pihak berkepentingan bagi memastikan Bajet 2023 yang komprehensif dan holistik,” katanya dalam kenyataan di sini.

Tengku Zafrul menambah, sekurang-kurangnya 400 agensi, NGO dan pertubuhan masyarakat sivil akan dijemput untuk mengemukakan input dan memorandum Bajet 2023 secara dalam talian melalui portal rasmi https://budgetmemorandum.treasury.gov.my mulai 5 petang, 3 Jun 2022 sehingga 5 petang, 24 Jun 2022.

Berdasarkan prinsip Keluarga Malaysia, kerajaan juga akan bekerjasama dengan sektor swasta, NGO dan masyarakat sivil dalam merangka inisiatif bajet yang khusus.

Dengan berpandukan KPB, MOF ingin menjemput orang ramai dan pihak berkepentingan untuk menyumbang input dan cadangan selaras dengan prospek, cabaran dan keutamaan negara melalui portal rasmi MOF bagi penyediaan Bajet 2023.

Sementara itu, dalam usaha penambahbaikan bagi Bajet 2023, semua pihak berkepentingan juga dijemput untuk berkongsi maklumbalas mengenai langkah-langkah Bajet 2022 melalui portal-portal berikut:
https://budget.mof.gov.my/ms/kajiselidik/rakyat/
https://budget.mof.gov.my/ms/kajiselidik/perniagaan – MalaysiaGazette