ISU kenaikan tambang perkhidmatan mencuri perhatian banyak pihak sejak dua minggu kebelakangan ini. Keresahan dan kebimbangan pengguna perkhidmatan e-hailing terutamanya golongan berpendapatan rendah disuarakan berikutan terbeban dengan kenaikan harga tambang perkhidmatan itu secara mendadak dalam tempoh masa yang sama. Keluhan mereka mendesak supaya kerajaan mengambil tindakan sewajarnya untuk mengawal kenaikan tambang tersebut. Kerajaan melalui Kementerian Pengangkutan telah menggesa syarikat-syarikat penyedia platfom e-hailing memberikan penjelasan berhubung dengan isu kenaikan tambang perkhidmatan itu. Antara respon yang diterima dari syarikat-syarikat penyedia platform e-hailing adalah kekurangan pemandu e-hailing yang aktif dan kenaikan permintaan dari pengguna perkhidmatan e-hailing itu sendiri.
Menyoroti garis masa isu kenaikan harga tambang perkhidmatan tersebut, ianya mula melonjak sejak kerajaan mengumumkan tarikh 1 Mei 2022 sebagai memasuki fasa peralihan ke endemik Covid-19 dan seterusnya membuka kesemua sektor perniagaan yang dahulunya tidak dibenarkan. Begitu juga, semakin ramai majikan terutamanya pihak swasta mewajibkan kehadiran pekerja-pekerja mereka ke tempat kerja. Ketibaan Aidilfitri 2022 disambut dengan penuh kemeriahan setelah dua tahun kita tidak menyambutnya bersama keluarga dan sanak saudara di kampung halaman akibat perintah kawalan pergerakan bagi mengawal situasi pandemik Covid-19 sebelum ini. Secara keseluruhannya, kadar penggunaan perkhidmatan e-hailing meningkat dengan ketara kerana dipengaruhi oleh pertambahan aktiviti-aktiviti yang memerlukan pergerakan dari satu tempat ke satu tempat.
Pun begitu, pemahaman pengguna terhadap konsep asas penawaran dan permintaan perlulah jelas berhubung dengan penetapan harga lantai dan harga siling bagi perkhidmatan jenis ini. Secara teorinya, kaedah lonjakkan harga digunapakai bagi menentukan harga tambang perkhidmatan ini. Terdapat beberapa pemberat bagi penentuan tambang yang digunapakai seperti lokasi, masa menunggu dan bilangan ketersedian pemandu pada satu-satu masa. Sekiranya permintaan dari pengguna bertambah tetapi penawaran dari pemandu kurang (bilangan pemandu yang tersedia), pastilah harga akan lebih tinggi daripada biasa. Malah, fungsi permintaan dan penawaran harga tambang ini berada dibawah kawal selia syarikat penyedia platform masing-masing. Oleh itu, tambang perkhidmatan ini akan sentiasa berubah mengikut permintaan dan penawaran semasa. Ini adalah antara keunikan perkhidmatan jenis pasaran dua sisi, yang mempunyai jenis pengguna.
Walau bagaimanapun, syarikat penyedia platform e-hailing menetapkan harga tambang lantai RM8 hingga RM10 bagi jarak antara 0KM hingga 5KM ketika bukan waktu puncak bagi membantu pemandu untuk mengawal kos mereka. Antara inisitif yang boleh diambil oleh syarikat penyedia platform e-hailing bagi mengawal kesan kenaikan harga tambang daripada berterusan adalah dengan menawarkan insentif yang menarik bagi menambah jumlah pemandu tersedia dalam satu-satu masa. Dengan itu kelompok pemandu optimum akan dicapai dan keseimbangan harga turut kekal stabil. Tidak nafikan kesan kenaikan harga tambang ini dirasai dengan ketara oleh pengguna akhir namun, harus juga diakui pemandu-pemandu e-hailing juga turut menangung kos kenaikan alat ganti kenderaan sejak Februari 2022 yang lalu.
Antara buah fikiran oleh pemandu-pemandu e-hailing yang diperoleh dari forum media sosial bagi mengurangkan kesan kenaikan harga adalah dengan pengurangan komisen 20% kepada 10% ketika di waktu puncak. Secara relatifnya, harga tambang semakin tinggi apabila pengguna akhir memesan perhidmatan ini di waktu puncak (termasuk dengan komisen 20%). Maka, sekiranya komisen itu disubsidi oleh pihak penyedia platform e-hailing, harga tambang akan sedikit rendah berbanding sebelum ini. Oleh itu, sedikit penurunan harga tambang dirasakan oleh pengguna akhir namun tetap akan menjamin permintaan yang tinggi lebih-lebih lagi ketika waktu puncak.
Sekadar pendapat.
Nor Irwani Abdul Rahman
Pensyarah, Fakulti Sains Gunaan dan Kemanusian
Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)
Bidang kajian: Gelagat Pengguna dalam Perkhidmatan Ekonomi Gig