Datuk Seri Saifuddin Nasution

KUALA LUMPUR – Kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang beliau akan masih menjawat jawatan perdana menteri (PM) jika bukan kerana langkah Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dibidas parti itu.

Setiausaha Agungnya, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, isu kurang sokongan terhadap Mahathir tidak timbul sekiranya bekas Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berpegang kepada janji beliau untuk menyerahkan jawatan PM kepada Anwar.

“Tidak timbul Anwar tak sokong. Perjanjian sebelum PRU14 ialah Tun jadi PM ke-7. (Datuk Seri) Anwar dan PKR dan PH (telah) tunai janji. PH menang PRU14 dan Tun jadi PM ke-7.

“Saya sendiri yang mewakili PKR di samping pimpinan DAP dan Amanah yang terlibat tahu bahawa Tun setuju sebagai interim PM. Tun tak setuju tetap tarikh untuk berhenti tetapi setuju 2 tahun untuk elak dilihat sebagai ‘lame duck’ Prime Minister (Perdana Menteri), ternyata Tun mungkir janji,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Saifuddin mengulas mengenai dakwaan Pengerusi Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) itu bahawa beliau akan masih lagi Perdana Menteri sekiranya Anwar tidak mengumumkan bahawa dirinya memperoleh 92 undi ahli Parlimen ketika itu.

“Kalau tak sabit dia (Anwar), saya hari ini jadi perdana menteri. Pasal bila saya letak jawatan, Agong mahu setiap 220 ahli parlimen tulis siapa yang mereka pilih. Saya fikir PH akan letak nama sayalah, pasal saya daripada PH.

“Tetapi Anwar kata dia ada banyak sokongan, tapi dia orang (PH) bagi kepada Anwar 92 undi, saya dapat 62, bukan daripada PH, daripada parti lain, orang lain saya tak tahu siapa.

“Kalau saya dapat 62, kalau saya juga dapat 92 daripada PH, saya dapat 154, saya jadi perdana menterilah. Tapi dia bagi saya kalah, dia pun kalah,” kata Mahathir dalam wawancara bersama sebuah media.

Dalam pada itu, Saifuddin menegaskan, Mahathir hilang jawatan bukan disebabkan Anwar namun disebabkan dirinya sendiri.

Beliau berkata, Mahathir meletak jawatan sebagai perdana menteri tanpa membuat perbincangan dengan pimpinan PH.

“Tun hilang jawatan akibat perbuatan sendiri yangg silap. Jika Tun akui kesilapannya Tun akan lebih dihormati.

“Janji PKR dan PH Tun Mahathir jadi PM ke-7 kita tunaikan. Tun sendiri tidak tunai janji untuk serah jawatan kepada Anwar. PRK tidak pernah janji sokong Tun sebagai PM ke-8.

“Jika Tun tunai janji, tidak timbul Anwar tak cukup majoriti,” katanya lagi.

Mengulas mengenai khemah besar di bawah PH, Saifuddin turut berkata, PKR akan tetap bersama PH dan tidak akan melibatkan Pejuang dalam mana-mana perbincangan tatkala Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) kelak.

“Tun juga pilih laluan sendiri (iaitu) Pejuang. PKR pun tidak pernah bincang idea khemah besar libatkan Tun. Fokus kami kukuhkan PKR dan PH mendepani PRU15,” katanya lagi. – MalaysiaGazette