KUALA LUMPUR – Harga eksport Malaysia pada April 2022, kekal kukuh dengan peningkatan 1.1 peratus daripada 141.5 mata pada bulan sebelumnya kepada 143.0 mata.

Selaras dengan prestasi eksport, indeks nilai seunit import juga mencatatkan peningkatan 2.4 peratus kepada 129.0 mata.

Menurut Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin, indeks nilai seunit eksport meningkat 1.1 peratus pada April 2022 berbanding bulan sebelumnya, disumbangkan oleh kenaikan indeks minyak & lemak binatang & sayur-sayuran (+7.6), alat jentera & kelengkapan pengangkutan (+1.5%), dan bahan kimia (+1.2%).

Sementara itu, indeks volum eksport menurun 4.1 peratus pada bulan yang sama, disumbangkan oleh kejatuhan indeks minyak & lemak binatang & sayur-sayuran (-11.8%), alat jentera & kelengkapan pengangkutan (-10.7%) dan minyak galian (-5.5%).

Indeks volum eksport pelarasan bermusim menyusut 4.7 peratus daripada 170.1 mata kepada 162.1 mata.

Berdasarkan perbandingan tahunan, kedua-dua indeks nilai seunit dan volum eksport masing-masing berkembang 18.4 peratus dan 2.0 peratus.

Di samping itu, prestasi indeks nilai seunit import meningkat 2.4 peratus pada April 2022 berbanding bulan sebelum, disumbangkan oleh kenaikan indeks minyak galian (+11.4%), minyak & lemak binatang & sayur-sayuran (+5.9%) dan alat jentera & kelengkapan pengangkutan (+1.1%).

Namun begitu, indeks volum import merekodkan kejatuhan 3.3 peratus pada April 2022 berbanding bulan sebelum, disumbangkan oleh penurunan indeks minyak galian (-14.2%), pelbagai barang keluaran kilang (-10.0%) dan alat jentera
& kelengkapan pengangkutan (-1.8%).

Indeks volum import pelarasan bermusim pada April 2022 turut menyusut 7.0 peratus daripada 189.9 mata kepada 176.7 mata.

Perbandingan tahun ke tahun menunjukkan kedua-dua indeks nilai seunit dan volum import masing-masing berkembang 10.7 peratus dan 10.2 peratus.

Jabatan Perangkaan Malaysia turut melaporkan terma perdagangan Malaysia menurun 1.4 peratus bulan ke bulan kepada 110.9 mata pada April 2022, didorong oleh kejatuhan indeks minyak galian (-12.1%) dan bahan mentah tidak boleh dimakan (-0.4%).

Perbandingan tahun ke tahun prestasi terma perdagangan Malaysia menunjukkan pertumbuhan positif 6.9 peratus daripada 103.7 mata pada April tahun lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast