KUALA LUMPUR – Majlis Perbandaran Selayang (MPS) sedang mengesan seorang individu didapati telah membuang sampah sisa pukal secara haram di Taman Berlian, Gombak, kira-kira jam 10.30 malam, 31 Mei lalu.
Pengarah Jabatan Korporat MPS, Mohamad Zain Masoad berkata, perbuatan itu dikesan pihaknya melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di hotspot pembuangan sampah di kawasan berkenaan.
“Sampah pukal yang dipercayai perabot itu bukan sahaja dibuang malahan dibakar oleh individu tidak bertangungjawab ini.
“Siasatan kini sedang dilaksanakan untuk mengesan individu yang melakukan perbuatan ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, perbuatan tersebut boleh dikenakan kompaun RM1,000 mengikut Undang-undang Kecil Pemungutan, Pembuangan, Pelupusan Sampah Sarap MPS 2007.
“MPS akan terus giat menjalankan pemantauan terutama di kawasan hotspot bagi mengelakkan kejadian seperti ini terus berulang.
“Tindakan akan dikenakan kepada mereka yang membuat kesalahan,” katanya.
Beliau turut meminta orang ramai untuk melaporkan sebarang aktiviti pembuangan sampah haram kepada MPS dengan menghubungi talian aduan bebas tol di 1-800-3636.
“MPS sekali lagi ingin mengingatkan kepada masyarakat untuk membuang sampah di tempat yang disediakan.
“Untuk pembuangan sampah pukal bagi kawasan perumahan seperti perabot, kotak dan sebagainya, orang ramai boleh meletakkannya di hadapan rumah masing-masing.
“Kutipan dilaksanakan oleh pihak KDEBWM satu kali seminggu mengikut jadual.
“Manakala sisa hasil perniagaan seperti perabot, pallet kayu, kotak dan sebagainya, peniaga perlu melantik kontraktor panel sisa industri bagi tujuan pelupusan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette