Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berucap merasmikan PBAKL kali ke-39 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur malam ini.

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan terus menyokong Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) serta sebarang aktiviti penerbitan buku sebagai perusahaan pendidikan dan budaya bagi memperkukuh budaya membaca.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PBAKL merupakan pesta buku terbesar negara yang mampu menjadi pemangkin  perkembangan industri buku dan memupuk budaya membaca serta mewujudkan masyarakat celik ilmu.

“Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui MBKM dan agensi berkaitan hendaklah melaksanakan usaha lebih giat bagi memajukan industri penerbitan buku tempatan dan menggalakkan aktiviti-aktiviti berkaitan dengannya.

“Saya menyeru kepada seluruh Keluarga Malaysia agar menerapkan budaya membaca, bagi melahirkan masyarakat bertamadun, berilmu pengetahuan dan berkeperibadian unggul,” katanya berucap merasmikan PBAKL kali ke-39 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur malam ini.

Dalam PBAKL tahun ini, sebanyak 167 pempamer dari dalam dan luar negara mengambil bahagian dan sambutan amat menggalakkan.

“Malah, ia juga dimeriahkan dengan pembukaan sebanyak 709 reruai (tempat mempamerkan produk) oleh pemain industri buku dan rakan strategik PBAKL sekali gus menjadi ‘syurga’ bagi pencinta buku.

“Paling memberangsangkan pesta buku kali ini turut menyasarkan kehadiran seramai 700,000 hingga sejuta pengunjung secara bersemuka di WTCKL,” katanya.

Katanya lagi, ketiadaan masa terluang bukan alasan untuk Keluarga Malaysia memberikan sokongan padu kepada PBAKL.

“Kali ini penganjurannya buat pertama kali dilakukan secara hibrid iaitu secara fizikal (bersemuka) dan juga secara dalam talian.

“Langkah ini seharusnya memberi peluang dan akses lebih luas kepada masyarakat Keluarga Malaysia di negara ini untuk turut serta dalam PBAKL 2022, tidak kira di mana jua mereka berada,” katanya.

Tambahnya, kegagalan untuk mengekalkan budaya membaca bukan hanya menjejas dan menghancurkan usaha Kerajaan membina sebuah negara bangsa berjaya, bahkan membunuh industri buku serta karyawannya. – MalaysiaGazette