Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed dan Soffian Mustafa dalam Program Get Ready For Universiti Programme Gear-UP! UMP-MARA di UMP

KUANTAN – Seramai 70 orang peserta lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari golongan B40 teruja apabila dapat merasai pengalaman berharga di kampus menerusi Program Get Ready For Universiti Programme Gear-UP! UMP-MARA yang berlangsung di Kampus Universiti Malaysia Pahang (UMP) Gambang.

Pengarah MARA Negeri Pahang, Soffian Mustafa berkata, program ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada peserta bagi menempuh alam universiti.

Menurutnya, para peserta terpilih merupakan peserta lepasan SPM dari golongan keluarga B40 yang sedang menanti keputusan untuk kemasukan ke universiti.

“Kemahiran berkomunikasi amat penting bagi setiap individu terutama dalam penguasaan kemahiran berbahasa Inggeris. Saya berharap semua peserta dapat mangambil manfaat daripada program ini untuk menempuhi alam universiti dan pekerjaan kelak,” katanya ketika ditemui hari ini.

Beliau turut menasihatkan pelajar apabila telah berjaya kelak agar tidak lupa menyumbang semula kepada negara terutama dalam membayar semula pembiayaan pendidikan untuk MARA membantu generasi seterusnya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed turut mengucapkan terima kasih kepada pihak MARA atas kepercayaan dan kerjasama yang dijalinkan.

Pihaknya mengharapkan lebih banyak peluang kolaborasi dan bekerjasama dalam program akan datang.

“Program ini merupakan salah satu sumbangan Universiti untuk membantu pelajar lepasan SPM bijak memilih program yang bersesuaian dengan kelayakan dan minat pelajar.

“Sebanyak lapan modul yang telah disediakan kepada peserta meliputi kaedah berfikir, keyakinan diri, hala tuju, pengucapan awam, etika berkomunikasi dan lain-lain lagi,” katanya.

Selain itu peserta juga turut dibawa melihat fasiliti di UMP seperti perpustakaan dan makmal.

Menurut salah seorang peserta, Putri Qarisha Alesya Abdullah, 18, dari Sekolah Menengah Kebangsaan Pulau Tawar melahirkan rasa gembira apabila terpilih mengikuti program ini.

“UMP merupakan pilihan utama untuk menyambung pengajian dalam bidang komputeran,” katanya. – MalaysiaGazette