– Minister of Plantation Industries and Commodities, Datuk Zuraida Kamaruddin PBM resigns Bersatu
Datuk Zuraida Kamaruddin.

KUALA LUMPUR – Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin sedia untuk melepaskan jawatan Kabinet sekiranya diminta Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, perkara itu sudah pun dimuktamadkan beliau apabila mengumumkan peletakan jawatan sebagai menteri pada 26 Mei lalu.

“Kalau PM kata lepaskan (jawatan Menteri), saya akan lepaskan,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan MRC ‘Global Funding for Rubber Innovation’ di ibu negara, hari ini.

Dalam pada itu, Zuraida menjelaskan, beliau masih belum dipanggil untuk bertemu dengan Ismail Sabri.

“Saya pada hari ini tengah dalam mod standby untuk bertemu dengan Perdana Menteri tapi masa belum dapat lagi.

“Dia (PM) beritahu saya untuk berjumpa minggu ini jadi saya dalam mod standby,” katanya.

Ditanya sama ada beliau akan hadir dalam mesyuarat Kabinet yang akan diadakan esok, Zuraida berkata: “Saya masih menteri.”

Zuraida yang ditanya mengenai jawatan apa yang akan disandang dalam Parti Bangsa Malaysia (PBM) hanya menjawab keahlian beliau masih menjadi tanda tanya.

“(Keahlian saya) dalam proses. Keahlian pun belum diputuskan,” ujarnya.

Sebelum ini Zuraida mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada 26 Mei lalu, Ahli Parlimen Ampang itu turut mengumumkan keputusannya meninggalkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan menyertai PBM. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast