KUALA LUMPUR – Umat Islam di negara ini, tanpa mengira latar belakang, diingatkan supaya tidak menghina atau cuba menjatuhkan agama lain seperti yang berlaku di India baru-baru ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, ini kerana perbuatan berkenaan amat ditegah dalam Islam.
“Dalam Al- Quran, Allah ada menyebut supaya jangan kamu menghina persembahan tokong orang lain, kalau kamu hina, nanti orang lain akan hina Tuhan kita. Ini prinsip yang dipegang Islam di negara ini.
“Kita juga harap tidak perlu beri reaksi pada penganut agama lain yang menghina agama Islam. Kita perlu bertindak balas dalam bentuk intelektual, muzakarah, atau wacana dan sebagainya bagi mengelakkan ketegangan antara agama lain yang semakin memuncak,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Buku Terbitan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL).
Terdahulu Idris diminta mengulas mengenai tindakan dua pegawai parti pemerintah, Parti Bharatiya Janata (BJP) yang membuat kenyataan mengenai Islamofobia dan menghina Nabi Muhammad SAW.
Individu berkenaan adalah Nupur Sharma, iaitu jurucakap Parti Bharatiya Janata (BJP) yang juga parti pemerintah dianggotai Perdana Menteri India, Narendra Modi serta Ketua Media BJP Delhi, Naveen Kumar Jindal.
Kenyataan Sharma yang ke udara melalui televisyen, minggu lalu mencetuskan bantahan dan kemarahan umat Islam di India serta pelbagai negara Islam, malah ramai menuntut wanita itu ditahan.
BJP yang sering dituduh bertindak ke atas golongan minoriti Muslim di India, menggantung Sharma kerana ‘memberi pandangan bertentangan pendirian parti’.
Beberapa negara Islam turut mengecam kenyataan itu, antaranya Qatar, Kuwait, Oman, Pakistan, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi dan Iran.
Malah ada negara yang menuntut India memohon maaf, selain sudah mula memboikot produk keluaran India dari negara mereka.
Sementara itu, ditanya mengenai pendirian Malaysia sama ada turut memboikot dan mendesak India memohon maaf berhubung kenyataan menghina Nabi Muhammad SAW, Idris berkata perkara itu akan dibincangkan kerajaan. – MalaysiaGazette