Siti Umi Kalsom Hussin

KUALA LUMPUR – Wanita BERJASA menasihati umat Islam di negara ini agar mengambil perhatian berhubung isu Festival Bon Odori anjuran kerajaan Selangor pada 16 Julai ini.

Ketuanya, Siti Umi Kalsom Hussin berkata, orang ramai termasuk kerajaan negeri sewajarnya menghormati nasihat serta saranan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad mengenai isu itu.

Ujar beliau, saranan daripada menteri agama itu dibuat berdasarkan kajian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang merupakan agensi berautoriti mengenai hukum hakam di negara ini.

“BERJASA dan sayap wanita menyokong saranan menteri yang minta umat Islam tidak turut serta dalam Festival Bon Odori yang akan diadakan di beberapa tempat di negara ini.

“Oleh itu, umat Islam juga sewajarnya akur dan bertindak rasional dengan nasihat itu kerana kajian secara ilmiah mengenainya telah dibuat oleh JAKIM,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang dilaporkan akan meneruskan festival berkenaan meskipun acara kebudayaan dari Jepun itu disahkan ada unsur keagamaan dan bertentangan dengan Islam.

Bagaimanapun Amirudin menjelaskan, kerajaan negeri akan merujuk perkara itu kepada pihak berkuasa agama negeri terlebih dahulu.

Menurut Siti Umi Kalsom, Bon Odori adalah festival atau tarian yang disambut sekitar 13 hingga 16 Julai setiap tahun oleh masyarakat Jepun.

Festival itu, katanya, bertujuan untuk memperingati roh datuk nenek moyang mereka yang telah meninggal dunia.

“Acara menerima dan menghantar roh ini yang dipercayai memberi keamanan kepada roh si mati adalah bertentangan dengan ajaran Islam.

“Dalam Islam, akidah kita mengajar adab tertentu dalam perkara ini. Doa anak atau keturunan soleh akan sampai kepada ahli keluarga terutama ibu bapa yang meninggal dunia, bukan dengan cara tarian atau upacara pemujaan.

“Rasullullah SAW mengajar kita sentiasa tamayyuz dan ada ciri ketersendirian serta tidak menjadi pak turut kepada adat dan budaya luar terutama melibatkan isu berkaitan dengan akidah,” ujarnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Rakyat Malaysia ada berbilang agama dan bangsa, sepeeti agama budha, hindu, dan kristian mungkin boleh mewakli orang melayu Malaysia untuk acara-acara sebegini.

Comments are closed.