KUALA LUMPUR – Seorang penunggang motosikal meninggal dunia semasa dirawat di hospital selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah kereta dalam kemalangan di Kilometer 55, Jalan Klang-Banting-Port Dickson pada 2 Jun lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhuwan Mohd Nor berkata, kejadian berlaku lebih kurang pukul 5 petang membabitkan sebuah motosikal jenis Yamaha Lagenda dan Honda City
“Siasatan lanjut telah dijalankan dan mendapati kemalangan dipercayai berlaku semasa kedua-dua kenderaan dari arah yang sama iaitu dalam perjalanan dari arah Banting menghala ke arah Tanjung Sepat.
“Apabila sampai di lokasi kemalangan, motokar jenis Honda City dipercayai sedang memotong sebuah kenderaan yang berada di hadapannya, dalam masa yang sama motosikal jenis Yamaha Lagenda itu sedang masuk ke simpang kanannya lalu menyebabkan motokar jenis Honda City tersebut melanggar bahagian belakang penunggang motosikal Yamaha Lagenda itu.
“Akibat perlanggaran itu, mangsa penunggang motorsikal itu tercampak dan jatuh di atas permukaan jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Ahmad Ridhuwan, penunggang motosikal terbabit seorang lelaki berumur 58 tahun itu telah dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut namun disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang.
Polis telah memulakan siasatan dibawah Seksyen 41(1) APJ 1987.
“Polis meminta saksi bebas yang telah melihat kemalangan tersebut atau saksi yang mempunyai maklumat mengenai kejadian kemalangan ini agar segera menghubungi mana-mana balai polis yang berhampiran.
Orang ramai juga boleh menghubungi pegawai penyiasat kes Inspektor Keisha Nur Azalea Betty Saran (Pegawai Penyiasat Trafik, Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat) di talian 011-62622972 atau 03-31872222 untuk membantu siasatan lanjut.- MalaysiaGazette