Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

KUALA LUMPUR – Isteri kepada bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor menarik balik tuntutan seutas gelang berlian emas putih bernilai AS$220,500 yang kini disimpan dalam bilik kebal Bank Negara Malaysia (BNM).

Antara pihak lain yang menuntut gelang berlian itu pada masa sama adalah syarikat barang kemas Lubnan, Global Royalty Trading SAL.

Bagaimanapun, Datuk Seri Najib Razak masih lagi meneruskan tuntutan tujuh jam tangan yang cuba dilucut haknya ketika ini.

 Gelang emas dan jam tangan itu antara barang disita polis dari premis milik Obyu Holdings Sdn Bhd di Pavilion Residences pada Mei 2018, yang didakwa berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menurut peguam yang mewakili Rosmah dan Najib, Azamuddin Abd Aziz serta Syazwani Mohd Zawawi, perkara itu dinyatakan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Jamil Hussin, hari ini.

Hakim seterusnya membenarkan permohonan itu dan menetapkan 26 serta 27 September ini bagi pendengaran pelucuthak harta berkenaan.

Pada 25 Julai 2020, Najib dan Rosmah memeriksa 306 beg tangan, 401 jam tangan, 16 aksesori jam tangan dan 234 cermin mata yang turut disita dari premis sama.

Sebelum ini, pasukan peguam Rosmah memohon gambar barang kemas yang dirampas untuk memudahkan tuntutannya.

Sementara itu, peguam Datuk David Gurupatham yang mewakili Global Royalty menegaskan, rantai tangan itu milik syarikat barang kemas tersebut kerana ia telah pun disahkan pakar daripada syarikat itu semasa pemeriksaan fizikal yang dilakukan tahun lepas.

Pendakwaan memfailkan permohonan pelucuthakan terhadap Obyu Holdings bagi menyita pelbagai barang termasuk 11,991 barang kemas, 401 jam tangan, 16 jam tangan aksesori, 234 pasang cermin mata dan 306 beg tangan serta wang tunai dalam pelbagai denominasi berjumlah RM114,164,393.44. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast