ENTAH kenapa perbicaraan melibatkan artis Hollywood, Johnny Depp dan bekas isterinya Amber Heard menjadi perang gender antara lelaki dan wanita di Malaysia.
Kemenangan yang diberikan oleh Mahkamah Circuit di Fairfax Country, Virginia, Amerika Syarikat kepada Johnny minggu lalu tiba-tiba menjadi satu kejayaan kepada kaum lelaki.
Ramai lelaki muncul di media sosial menyatakan perasaan gembira kerana akhirnya golongan mereka menewaskan wanita.
Ada yang berkata kes itu membuka mata masyarakat mengenai momokan bahawa ‘wanita tidak pernah salah’, ‘wanita selalu betul’ dan ‘wanita sentiasa menang’.
“Kesimpulannya, kepada lelaki-lelaki yang berada di luar sana, kalau Johnny boleh menang ke atas wanita, buktikan anda semua pun boleh menang. Jangan biarkan hidup anda terus dikongkong oleh wanita. Pertahankan hak anda! Andalah lelaki sejati!” kata satu hantaran di Facebook.
Bagaimanapun ada pula tampil menegaskan wanita tidak kalah sepenuhnya. Ini kerana yang memenangkan Johnny dalam kes tersebut adalah peguamnya yang merupakan seorang wanita.
“Di sebalik kejayaan seorang lelaki ada wanita hebat dibelakangnya. Moral of the story kisah Johnny ini adalah lantiklah peguam wanita kalau nak berlawan dengan wanita. Sebab jarang lelaki boleh menang kalau berdebat dengan wanita. Depa selalu menang. Kita perlu terima hakikat ini guys”.
Simpati terhadap mereka yang meraikan kemenangan Johnny
Kisah Johnny dan Amber sebenarnya mewakili ramai lelaki yang didera tetapi malu hendak ke depan ataupun tidak sedar bahawa mereka mangsa penderaan.
Bagi Pakar Perhubungan dan Keintiman, Diyana Tahir, beliau berasa kasihan kepada netizen yang meraikan ‘kemenangan’ Johnny.
Mereka ini menurutnya, merupakan kumpulan yang mengambil kesempatan atas kemenangan Johnny untuk meluahkan perasaan kerana mereka juga mempunyai hubungan yang tidak bahagia seperti kedua-dua selebriti terkenal itu.
“Pada saya, mereka yang meraikan kemenangan Johnny ini kebanyakan telah kahwin. Bila kita sudah berkahwin dan ada sentimen ini maksudnya kita menang atas kesakitan orang yang sedang menderita.
“Kasihan kepada lelaki dan wanita yang bergaduh pasal isu ini. Perempuan kata lelaki, bini kata suami, laki kata isteri. Sejujurnya ramai pasangan yang tak bahagia menggunakan kes Johnny, Amber untuk saling mengata.
“Ini saya kasihan. Sebenarnya ramai yang tak tahu mereka tak bahagia dalam rumahtangga. Mereka tidak tahu mereka terperangkap dalam blame game, salah menyalahkan,” katanya.
Menurut Diyana, mereka yang bahagia tidak akan bersikap mengeji gender lain yang menjadi pasangan hidup.
“Sebenarnya ada benda yang tak kena dengan hubungan mereka. Kenapa orang yang bahagia nak kalahkan pasangan dia? Tak ada masalah rumahtangga kenapa nak kisah pasal perkahwinan Johnny, Amber?
“Bila anda nak sangat-sangat ketengahkan ‘memanglah lelaki macam itu, memanglah wanita macam itu, memanglah bini macam itu, maksudnya apa? tanya beliau.
Wanita bukan sentiasa nak menang tapi…
Pengasas syarikat eHati yang menyediakan perkhidmatan bimbingan secara peribadi kepada pasangan yang menghadapi masalah perkahwinan itu berkata, wanita bukan ingin sentiasa menang seperti yang didakwa.
Sebaliknya, wanita kelihatan mahu menang kerana mereka diciptakan lebih beremosi berbanding lelaki.
“Sebenarnya wanita bukan nak menang tetapi emosi. Itu kita kena terimalah kenapa kita nampak wanita macam nak menang sebab wanita Allah memang jadikan beremosi.
“Ada tujuannya untuk sensitif dengan anak, nak jaga anak. Kalau dia tidak emosi lantaklah anak itu. Betul tak? Tapi ramai wanita tak sedar.
“Inilah kenapa kami di eHati selalu buat kelas untuk wanita, untuk sedarkan ‘kamu sibuk nak menang dapat apa? Kau nak kalahkan laki kau, salahkan laki kau dapat apa. Bukan bahagia pun. Dapat ke yang kau nak,” kata Diyana berterus terang.
Katanya, wanita terperangkap dalam diri sendiri apabila sentiasa mahu menang dan hilang fokus terhadap apa yang dia ingini dalam perkahwinan.
Sementara itu, Pakar Psikologi dan Wanita, Elle Filani pula berpendapat, sudah menjadi lumrah untuk setiap insan tidak kira lelaki atau wanita mahu menang dalam sesuatu perkara.
Wanita yang ingin menang menurut Elle Filani, adalah wanita yang mempunyai daya saing yang tinggi.
“Jadi untuk kes ini rata-rata yang memberi pendapat wanita selalu nak menang pada saya sah-sah wanita itu mempunyai daya persaingan yang sangat tinggi di mana mereka memang tak nak kalah.
“Dalam diri setiap manusia memang ada semangat hendak bersaing. Tak kira lelaki atau wanita. Sebab persaingan ini adalah salah satu kekuatan manusia.
“Hanya orang yang mempunyai daya saing yang tinggi akan rasa dia tak hendak kalah dengan orang lain. Inilah sebenarnya. Isu ini bukan pasal gender,” tegas pakar komunikasi warna itu.
Justeru beliau menegaskan, gender tidak membuktikan kecerdikan seseorang membidas satu-satu kontek perbicaraan ataupun perbualan.
Elle Filani berkata, banyak pasangan yang mengikuti kelasnya mempunyai banyak masalah dalam berkomunikasi dan akhirnya menjadi mangsa keganasan rumahtangga.
Di Malaysia sejumlah 19 peratus lelaki menjadi mangsa keganasan rumah tangga manakala baki 81 peratus pula adalah wanita.
“Ada sahaja orang dalam rumahtangga dia menderita tetapi dia tak pernah kehadapan untuk bersuara. Mungkin dia diugut, takut. Ini hanyalah statistik yang kita tahu.
“Kita perlu didik rakyat Malaysia bahawa ini bukan isu gender kerana perang gender ini dari dulu hingga sampai bila-bila takkan habis,” tegasnya.
Dalam senyap ramai suami jadi mangsa dera
Diyana yang telah menyelamatkan 6,000 pasangan daripada bercerai berkata, terdapat tiga jenis penderaan dalam alam perkahwinan.
Selain penderaan fizikal seperti memukul penderaan juga berlaku dalam bentuk mental dengan cacian dan hamburan kata-kata kesat.
Katanya, ramai suami yang menjadi mangsa penderaan mental dalam senyap
“Penderaan mental ini ada banyak jenis. Seperti kata-kata yang menyakitkan itu juga adalah seperti maki hamun, perempuan kebanyakannya bila bergaduh keluar maki hamun. Memburuk dan menghina suami.
“Kajian menunjukkan otak manusia yang dipukul dan didera dengan orang yang hari-hari dimaki hamun adalah sama iaitu mengecut. Kata-kata cacian sama kesannya dengan pukulan kepada otak manusia. Ramai lelaki yang tak sedar sebenarnya mereka kena dera,” dedah Diyana.
Penderaan juga berlaku apabila pasangan mengambil tindakan senyap dan melarikan diri. Kesan penderaan ini sama seperti dipukul atau dihambur kata-kata kesat.
“Otak manusia yang kena dera iaitu dipukul dan manusia yang dikenakan silence treatment yang ditinggalkan sepi kesannya kepada otak lebih teruk. Seolah-olah otak menunjukkan simptom nak mati.
“Sebab apa, bila pasangan yang diharap menjaga kita meninggalkan kita. Otak manusia mendaftarkan ia sebagai kematian. Hilang tak ada maknanya mati,” jelasnya.
Belajarlah ilmu manusia elak jadi pendera, mangsa
Bagi mengelakkan alam rumahtangga berantakan seperti Johnny dan Amber setiap pasangan yang berkahwin perlu mempunyai ilmu mengenai manusia.
Menurut Elle Filani, kalau tak kenal manusia pasangan tidak akan tahu macam mana seseorang insan itu bertindak, bercakap dan merasakan sesuatu.
“Kalau kita kenal, kita mesti tak ada isu feminisme atau masculinity atau apa sahaja yang membuatkan kita akan bercakap benda negatif mengenai orang lain.
“Secara asas kita tak akan bersangka buruk kalau kita mempunyai ilmu tentang manusia ini. Tak adalah lelaki nak pandang wanita buruk, wanita nak pandang lelaki sahaja yang betul,” tegasnya.
Justeru setiap pasangan perlu tahu latar belakang pasangan masing-masing.
Kenali punca yang membuatkan pasangan tiba-tiba berubah jadi murung atau marah dan cuba bawa berbincang.
Dalam banyak keadaan, kata Elle Filani wanita hanya mahu didengari.
“Lelaki yang tidak feminin ini mungkin boleh mempertingkatkan kemahiran mendengar. Kerana kemahiran mendengar ini sangat penting. Mendengar untuk memahami, bukan mendengar untuk memberikan kritikan, ulasan.
“Kadang-kadang perempuan dia nak kita mendengar untuk mendengar sahaja. Percayalah. Untuk jadi tempat mengadu. Dia tidak minta kurang atau lebih daripada itu.
“Tolonglah dengar, tolonglah pinjamkan telinga. Dia akan rasa lebih baik,” terang Elle Filani.
Kesimpulannya, rakyat Malaysia mampu ambil iktibar daripada kes Johnny dan Amber untuk belajar mengenali pasangan dam memahami kehendak masing-masing.- MalaysiaGazette