Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Jualan perdagangan borong dan runcit Malaysia mencatatkan peningkatan 15.2 peratus tahun ke tahun pada bulan April, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata peningkatan itu disumbangkan oleh subsektor perdagangan runcit yang meningkat RM9.3 bilion atau 20.9 peratus kepada RM53.6 bilion.

Perdagangan Borong juga berkembang dengan 11.5 peratus atau RM6.1 bilion kepada RM59.0 bilion. Pada tempoh yang sama, Kenderaan Bermotor menokok 11.3 peratus atau RM1.6 bilion kepada RM15.4 bilion.

“Secara umumnya, peningkatan keseluruhan RM16.9 bilion atau 15.2 peratus dalam Perdagangan Borong dan Runcit disumbangkan oleh sambutan Hari Raya Aidilfitri pada awal Mei tahun ini.

“Bagi perbandingan bulan ke bulan, nilai jualan Perdagangan Borong dan Runcit meningkat 3.4 peratus. jualan subsektor Perdagangan Runcit melonjak 7.4 peratus dan subsektor Perdagangan Borong meningkat 3.1 peratus,” katanya.

Beliau berkata bagi perbandingan bulanan, jualan subsektor ini menjunam -7.7 peratus disebabkan oleh jualan Kenderaan Bermotor yang merosot -16.5 peratus berikutan industri ini terus terjejas ekoran kekurangan cip serta asas yang lebih tinggi yang dicatatkan pada Mac.

“Indeks jualan runcit melalui internet untuk April 2022 merekodkan pertumbuhan 24.9 peratus tahun ke tahun (Mac 2022: 17.0 peratus). Bagi pelarasan musim, indeks meningkat 11.6 peratus berbanding bulan sebelumnya

“Bagi indeks volum, Perdagangan Borong dan Runcit bagi April 2022 mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 10.0 peratus,” katanya.

Beliau berkata pengembangan itu disumbangkan oleh Perdagangan Runcit yang meningkat 16.6 peratus.

“Kenderaan Bermotor dan Perdagangan Borong juga mencatatkan pertumbuhan positif masing-masing sebanyak 7.2 peratus dan 3.3 peratus. Bagi indeks volum pelarasan musim, ia meningkat 7.9 peratus bulan ke bulan,” katanya.

Jabatan Perangkaan sedang menjalankan Survei Pendapatan, Perbelanjaan Isi Rumah dan Kemudahan Asas (HIES/BA) 2022 bermula dari 1 Januari 2022 sehingga 31 Disember 2022 dan Survei Ekonomi Tahunan 2022 (AES 2022) bermula 15 April sehingga 30 September 2022.

Sila layari www.dosm.gov.my untuk maklumat lanjut.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast