KUALA LUMPUR – Ketua Jurulatih Turkmenistan optimis perjuangan mereka untuk layak kempen Piala Asia 2023 di China masih belum berakhir walaupun tewas kepada Harimau Malaya 3-1 dalam aksi Kumpulan E Pusingan Kelayakan di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi.
Hojageldiyev Yazguly berkata, kekalahan pertama itu tidak bermakna segalanya sudah berakhir dan yakin pintu kemenangan masih terbuka pada aksi-aksi akan datang untuk mara ke Piala Asia 2023 di China nanti.
“Kami akur Malaysia mempamerkan aksi luar biasa malam tadi, memang tidak diberi peluang untuk menguasai bola di atas padang.
“Bolos dua gol seawal 20 minit pertama memang sesuatu di luar jangkaan sekaligus mengubah rentak permainan pasukan selain aksi agresif dan ‘high pressing’ skuad Kim Pan Gon menutup ruang untuk mengawal permainan sepanjang 90 minit itu,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan tersebut.
Menurutnya, pasukan Turkmenistan telah melakukan yang terbaik dalam perlawanan tersebut sehingga sukar mengenalpasti sebab tewas di sebalik aksi agresif yang dipamerkan Harimau Malaya.
“Kami tidak mahu pening kepala mencari kenapa boleh kalah kepada Malaysia dan mahu fokus kepada perlawanan seterusnya selepas ini..tiga perlawanan dalam tempoh seminggu suatu yang mencabar.
“Kekalahan ini tak bermakna semuanya berakhir untuk kami di sini kami masih ada harapan dalam dua perlawanan lagi boleh menghasilkan keputusan positif,” katanya.
Dalam pada itu, dia dan pasukannya terhibur dengan atmosfera dalam stadium yang dibanjiri sorakan gemuruh Ultras Malaya dan para penyokong Malaysia.
“Suasana kebanjiran penyokong dalam stadium kami sangat rindu dan hilang selama dua tahun yang lalu akibat pandemik global.
“Sebenarnya kehadiran penyokong tidak mengganggu fokus kami sebaliknya kami teruja melihat mereka dan terhibur sedikit semasa perlawanan,” tegasnya. – MalaysiaGazette